KENAIKAN OPR, KESAN KEPADA PENGGUNA
OVERNIGHT POLICY RATE (OPR) dijangka akan dinaikkan lagi. Baru sahaja beberapa hari memasuki tahun baru 2023. Ingatkan sudah boleh bernafas lega, rupanya semalam Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) akan berlaku kenaikan sekali lagi. Jika berlaku kenaikan kali ini, ia adalah kenaikan buat pertama kali bagi tahun 2023 dan kali kelima dalam tempoh tidak sampai satu tahun sejak Mei 2022..
Untuk pengetahuan umum, BNM telah menaikan OPR secara berperingkat pada tahun 2022 bermula 1.75% dan sudah empat kali untuk tahun 2022 dengan kadar terakhirnya pada November 2022 adalah sebanyak 2.75%. Anda boleh membuat rujukan kadar OPR di website Bank Negara Malaysia.
Hari ini kita berhadapan inflasi dengan kenaikan harga barangan keperluan yang tidak terkawal. Jika berlaku kenaikan OPR lagi kali ini, ia sedikit sebanyak akan menimbulkan kegusaran di kalangan pengguna.
Apa tidaknya, kenaikan OPR akan membebankan lagi poket kita yang sememangnya sedang menipis akibat kenaikan barang dan semestinya komitmen ansuran bulanan bank juga akan meningkat.
Namun begitu, adalah penting bagi kita untuk memahami terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan OPR dan bagaimana mekanismnya? Barulah kita dapat membuat penilaian yang adil dan rasional, sama ada kenaikannya akan memberi kesan pada kewangan kita atau tidak.
Apa itu OPR?
Menurut Investopedia,
"Overnight Rate is the interest at which depository institution (generally banks) lends and borrows funds from another depository institution in the overnight market. In many countries, the overnight rate is the interest rate the central bank sets to target monetay policy".
Maksudnya OPR ialah kadar faedah yang ditetapkan oleh bank pusat. Di Malaysia, Bank Negara Malaysia yang akan menentukan kadar faedah untuk institusi kewangan yang meminjam wang di antara satu sama lain untuk tempoh satu malam.
Di dalam operasi harian bank, rizab wang tunai bank adalah berubah-ubah, bergantung kepada aktiviti peminjaman yang berlaku dalam bank serta deposit dan pengeluaran wang yang dibuat oleh pelanggan (i.e : kita). Mungkin anda pernah dengan seperti contoh Maybank meminjam wang dari CIMB di pintu sebelah. Apa tujuan mereka berbuat demikian?
Ini kerana apabila tamat tempoh perniaagaan hari tersebut, bank berkemungkinan mempunyai rizab tunai yang kurang atau lebih daripada nilai yang ditetapkan. Jika berlaku kekurangan daripada rizab yang ditetapkan, bank tersebut akan mengalami masalah kecairan untuk meneruskan operasi pada hari berikutnya. Inilah sebabnya, bank tersebut akan meminjam dengan bank lain yang mempunyai lebihan tunai. Bank yang memberi pinjaman akan mengenakan faedah. Kadar asas untuk faedah tersebut itulah dikenali sebagai OPR.
Kenapa Kenaikan OPR ini Memberi Kesan Kepada Kita?
Walaupun OPR ini hanya terpakai kepada institusi perbankan, tetapi akibat daripada kenaikan faedah ini ia akan turut mengheret kepada kos pinjaman yang "kita" buat melalui bank. Bermaksud kos bank meningkat, jadi bank terpaksa pindahkan juga kos tersebut kepada pelanggan iaitu "kita". Jika kos pinjaman tersebut berkurang, bank juga akan mengurangkan faedahnya terhadap pelanggan.
Perubahan OPR akan memberi kesan kepada faedah pinjaman yang kita ambil, termasuklah pinjaman perumahan, peribadi dan sebagainya. Lebih tinggi OPR, akan menyebabkan bayaran bulanan akan meningkat.
Apakah Penting OPR
OPR memainkan peranan penting dalam dasar monetari negara kerana ia akan memberi kesan kepada pelbagai ukuran kewangan negara seperti kadar deposit, kadar pinjaman, kadar pertukaran mata wang asing dan sudah pastinya faedah pembiayaan seperti pinjaman perumahan, peribadi, perniagaan dan sebagainya.
Kadar faedah bank yang ditentukan oleh OPR yang akan menentukan rangka kerja dan hala tuju kewangan negara bagi memastikan keseluruhan institusi kewangan mempunyai bekalan tunai yang stabil dan mencukupi.
Disebabkan OPR adalah perkara asas yang akan memastikan fungsi perbankan boleh terus berjalan, perubahan kadar OPR akan memberi kesan kepada keseluruhan komponen di dalam sistem ekonomi negara. Namun, perlu difahami perubahan OPR akan memberi kesan kepada tabiat perbelanjaan rakyat dan ia dijadikan sebagai instrumen untuk mengawal inflasi atau mengelakkan deflasi, dan juga sebagai penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Mungkin anda masih ingat, ketika negara kita terjejas akibat PKP yang berpanjangan, BNM telah menurunkan kadar inflasi sehingga 1.75%. Ini adalah bertujuan untuk merancakkan kembali ekonomi negari akibat daripada Covid-19.
Apabila OPR dikurangkan, kos pinjaman akan berkurangan, Ini akan memberi manfaat lebihan pegangan tunai di tangan rakyat dan kuasa membeli akan meningkat. Ia juga membolehkan ramai orang mula membuat pinjaman termasuk syarikat kecil yang mengalami kerugian akibat penutupan ekonomi. Dengan cara ini, ekonomi negara boleh kembali bergerak walaupun perlahan akibat pendemik.
Begitu juga sebaliknya, apabila ekonomi sedang rancak dan kadar inflasi mula menunjukan peningkatan, OPR terpaksa dinaikan untuk mengawal harga barang. Dengan naiknya kadar OPR, pengguna dan peniagaan akan kurangkan meminjam dan berbelanja. Ini secara teorinya, dapat mengelakkan kenaikan harga barang disebabkan oleh tarikan permintaan (demand pull inflation).
Apakah Kesan Jika Kadar OPR Naik Kepada Kita?
Sekiranya OPR meningkat, kos pinjaman kita juga akan meningkat. Ini akan menyebabkan pegangan tunai di tangan kita berkurangan kerana terpaksa membayar hutang yang meningkat.
Sekiranya kadar OPR naik, pulangan yang di terima daripada simpanan dalam bank juga akan meningkat. Oleh itu, ia sepatutnya menjadi peluang kepada kita untuk membuat simpanan dan mengurangkan perbelanjaan.
Masih ingat "demand pull inflation"? Apabila kita kurang berbelanja, maka permintaan terhadap barangan akan berkurangan dan diharapkan dapat mengurangkan harga barang serta menurunkan kadar inflasi semasa.
Kesimpulan dari Saya
Di dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu ini, kita dinasihatkan agar berhemah dalam berbelanja.
Keduanya, ambillah peluang untuk menambah ilmu terutamanya ilmu kewangan. Ini sedikit sebanyak memberi kita ilmu tentang pengurusan kewangan, mendidik diri tentang kepentingan membuat simpanan atau peluang untuk memulakan pelaburan.
Inflasi juga dijangkan akan terus menggugat keupayaan kita untuk berbelanja, adalah lebih baik kita mula melabur untuk membina tabung bagi melindungi nilai wang di tangan.
Memilih pelaburan yang berisiko rendah dan mampu memberi pulangan yang melebihi inflasi, sekurang-kurangnya dapat memastikan kuasa membeli tidak mengecil.
No comments:
Post a Comment