Assalamualaikum.

Salam hari Jumaat. Lama betul masa yang diambil untuk perkongsian pengalaman Cik Suri mendaki Bukit Jabal Nur. Masih ingat umrah Cik Suri pada Ramadhan tahun lepas. Maaflah, terlalu lama sangat masa peram untuk menulis perkongsian ini. Maklumlah, kadang-kadang ada hari yang kita "stuck" cara untuk menulis.


Mohon untuk teruskan membaca.


Kumpulan kami berkesempatan mendaki Jabar Nur pada hari kedua ketika berada di tanah suci Mekah. Pengalaman mendaki pada waktu malam adalah satu pengalaman yang tidak akan dilupakan. Melihat keindahan bumi Mekah pada waktu malam dengan kerdipan cahaya lampu dari puncak bukit yang penuh sejarah ini.


"Jabal Nur" bererti bukit (jabal), nur (cahaya). Jabal Nur berjarak kira-kira 2 batu dari Kota Mekah. Di Jabal Nur inilah terdapatnya Gua Hira' yang mana gua yang menjadi tempat Rasulullah menerima wahyu pertama daripada Allah. Pertemuan pertama Rasulullah dengan Malaikat Jibril yang menjadi utusan dari Allah. Bukit inilah yang menjadi saksi pertemuan pertama kedua makhluk Allah yang mulia iaitu Nabi Muhammad s.a.w dan Malaikat Jibrail a.s.


Teringat akan kisah perit-gentir Nabi Muhammad ulang-alik mendaki bukit ini. Jabal Nur inilah tempat baginda menyendiri dari kelompok masyarakat Mekah.


Bergerak dari Hotel


Kami bertolak dengan menaiki bas dari Hotel Hilton. Kami bergerak menuju ke Jabar Nur selepas waktu Isyak. Sempat juga kami makan malam terlebih dahulu di Hotel Hilton. Perjalanan mengambil masa hampir satu sejam, ditambah pula dengan sedikit kesesakan di jalan raya. Sempat juga Cik Suri terlelap sekejap. Penat barangkali.


Kami tiba di kaki bukit hampir jam 10 malam. Pada asalnya, perancangan kami untuk membuat lawatan ke muzium dahulu. Tetapi disebabkan kami sudah kesuntukan masa, jadi terpaksa mengubah perancangan dengan terus mendaki  Jabal Nur ini. 


Kami diturunkan di satu kawasan deretan bangunan kedai yang masih belum ditutup. Kemudian, kami menaiki van yang sedia ada di sana. Van ini perlu dibayar dengan harga 5 riyal setiap seorang. Cik Suri agak terkejut apabila menaiki van ini kerana pemandunya memandu dengan sangat laju dan ekstrem. Ya, tidak hairan kalau kami menjerit. 


Pemandu terpaksa menekan dan melepaskan brek ketika melalui lorong-lorong kecil sambil memandu mendaki bukit ini. Terkejut kami. Sampai sahaja di kaki bukit, apabila turun dari van barulah Cik Suri perasan yang bukit ini sangat curam. Teringat Cik Suri merangkak mencari tempat yang rata.


Pengalaman Mendaki Jabal Nur


Kami mula mendaki setelah semua jemaah sudah berkumpul. Sebenarnya kawasan Jabal Nur ini sangat gelap. Nasib ada cahaya lampu daripada telefon. Kalau tidak terpaksalah mendaki dalam gelap. Bukit ini pada awalnya mempunyai tangga yang landai. Tapi, penat juga hendak melangkah. Bagi mereka yang sudah biasa mendaki bukit atau gunung, tiada masalah untuk menghabiskan pendakian dalam masa sekejap sahaja. 


Tidak untuk Cik Suri, terpaksa berjalan perlahan-lahan untuk mengelakkan daripada merasa penat.  Mujur ada teman-teman yang melayan dan sama-sama berjalan. Kurang juga rasa penat dan lelah. Lama juga masa yang Cik Suri ambil untuk sampai ke puncak. Adalah dalam sejam lebih. Belum kira masa untuk turun lagi tu.


Banyak kali juga Cik Suri berhenti berehat. Sambil-sambil itu, sempatlah mengambil gambar permandangan dari atas Jabar Nur untuk dijadikan kenangan. Mendaki menaiki tangga tetapi Cik Suri terlupa untuk membilang berapa bilangan anak tangga di Jabal Nur ini. 


Sampai sahaja separuh perjalanan, mutawiffah yang guide kami ini belanja minum air jus limau nipis. Uishh...segar betul. Lega tekak dapat minum air limau nipis sejuk. Terus bertenaga untuk sambung perjalan sampai ke puncak.


Peminta Sedekah di Jabal Nur


Jangan terkejut kalau kamu disapa oleh orang-orang Arab. Ya, di sepanjang pendakian akan ada peminta sedekah. Mereka adalah orang Arab-Badwi. Mereka akan menegur kita dan meminta sedekah. Cik Suri tidak sampai hati melihatnya tetapi telah dipesan oleh jemaah untuk tidak melayan. Ini kerana, kalau kita sedekah dekat satu orang akan ramai lagi akan datang dekat kita. Jadi, jangan cari penyakit. Takut nanti tidak sempat balik hotel kerana ditahan oleh peminta sedekah.


Bermacam ragam si peminta ini. Ada yang merayu, ada yang menyanyi. Siap ada yang tahu lagu viral tiktok Malaysia. Cik Suri lupa apa yang disebut, tetapi terhibur jugalah mendengarnya. 


Puncak Jabal Nur


Kami berjaya sampai ke puncak Jabal Nur setelah beberapa kali berhenti. Berhenti rehat dan mengambil gambar pemandangan. Pendakian yang mengambil masa lebih kurang hampir sejam. Sebenarnya, Cik Suri lupa nak rekod masa. Kami berhenti di satu kawasan yang Cik Suri sendiri tidak pasti sama di puncak atau belum.  Tetapi, apabila memandang ke bawah kita akan nampak Gua Hira'. 


Di Gua Hira' terlalu ramai orang yang ingin mengambil peluang untuk menunaikan solat sunat di situ. Kebanyakan adalah daripada golongan lelaki. Cik Suri hanya memandang sahaja gua yang menjadi tempat persembunyian nabi s.a.w. ini.


Bergambar Kenangan di Jabal Nur


Di puncak Jabal Nur ini, sempatlah kami bergambar kenangan. Sambil minum air mineral yang boleh dibeli di gerai yang ada di puncak. Bila diingat-ingatkan balik, tidak terasa penat pun mendaki Jabal Nur ini. Lagi-lagi bila kita berjalan santai-santai. Cuma akan mengambil masa untuk sampai ke puncak. 

Setelah puas bergambar kami meneruskan perjalanan turun. Masa ini laju sedikitlah berjalan. Kadang-kadang semput juga apabila sampai di kawasan yang sedikit curam. Hendak kena tahan kaki menurun, tidak sama macam kita mendaki. 


Pengalaman Yang Seronok

Kami tiba di Masjidil Haram hampir tengah malam. Masa ini mata terasa sangat mengantuk. Bas menurunkan kami di Hotel Hilton, jadi terpaksalah Cik menapak balik ke Hotel Safwah yang terletak di Tower Clock. Perut lapar tapi mata mengantuk. Jadi, Cik Suri pilih mata untuk tidur di atas tilam empuk hotel. Esok kena bangun awal pagi untuk lakukan tawaf sebelum solat subuh.


"KAMU BERHARAP UNTUK MENJADIKAN KEJAYAAN SEBAGAI SATU KEBIASAAN?"


Sekiranya "YA", adalah jawapan kamu, maka dengan mengikuti 7 langkah ini pada setiap pagi setiap permulaan hari kamu, ia boleh membantu kamu untuk menjalani aktiviti harian dengan penuh semangat dan optimis.


Menghabiskan beberapa jam pertama di permulaan hari akan menjadikannya rutin di sepanjang hari kamu. Cuba bayangkan ianya seperti sekeping kain kanvas putih yang kosong, dan kamu akan mewarnainya di sepanjang hari kamu dengan aktiviti, tujuan dan penuh dengan produktiviti. 


Jadi, jika kamu ingin menjadikan kejayaan itu sebagai satu perkara biasa maka kamu perlulah menggabungkan kesemua tujuh perkara ini  di setiap pagi dan pasti ianya akan menjadi satu manfaat yang terbaik untuk kamu semua.


Bangun sebelum matahari terbit

Perkara pertama yang perlu kita ubah adalah dengan bangun dari tidur sebelum terbitnya sang matahari. Bagi seorang umat Islam, ianya bukan sesuatu yang sukar. Ini kerana setiap orang Islam adalah menjadi kewajiban untuk menunaikan solat subuh. Sudah pasti ianya "seperti memetik jari, kacang saja" untuk bangun sebelum subuh. 

Lagi satu, pernahkah kamu mendengar tentang "5 am club"? Ianya adalah satu community yang berkongsi pengalaman berkaitan aktivit 5 pagi mereka. Mereka akan berkongsi cara dan apa yang aktivit  mereka lakukan untuk memenuhi waktu jam 5 pagi.


Morning meditation

Wow, morning meditation kata orang putih. Melakukna aktiviti meditasi dapat kita mengurangkan rasa stress atau tekanan. Ia membantu meningkatkan daya tumpuan, dan memulihkan emosi. Oleh disebabkan itu, pagi-pagi jangan selalu marah-marah. Nanti naik darah!

Gabungan meditasi ringkas di waktu pagi bukan sahaja dapat menimbulkan vibe positif tetapi dalam masa yang sama dapat membantu kamu mengawal emosi pada perkara yang tidak dijangka dengan tenang di sepanjang hari. 


Bersenam

Bersenam atau melakukan aktiviti fizikal terbukti dapat menyihatkan tubuh badan, tetapi dalam masa sama turut membantu menajamkan minda dan tumpuan. Senaman pagi terutamanya dapat menaikkan mood semulajadi badan iaitu melalui penghasilan hormon endorfin daripada badan. 

Oleh itu beraktiviti seperti berjogging, berbasikal, berjalan pantas, senam aerobik dan sebagainya bukan sahaja dapat meningkatkan metabolisme badan tetapi turut menimbulkan mood positif sepanjang hari dan hari-hari berikutnya. Produktiviti juga akan turut meningkat seiring dengan perasaan positif.


Bersarapan yang berkhasiat

Setiap pagi adalah penting untuk mengambil sarapan. Jangan sesekali kita skip daripada bersarapan. Sarapan adalah penting!!

Kajian telah membuktikan bahawa mengambil makanan yang berkhasiat setiap pagi dapat mengawal mood dan emosi kita. Memulakan hari anda dengan sarapan yang tidak sihat akan menimbulkan kemalasan, lemah, tidak bertenaga dan kehilangan motivasi.


Sebab itu adalah penting untuk memilih hidangan pertama setiap pagi dengan bijak. Sekurang-kurangnya jenis makanan ini dapat membantu meningkatkan produktiviti harian kita.

 

Membaca untuk menambah pengetahuan

Kesilapan besar yang selalu kita lakukan pada waktu pagi ialah kerap memeriksa telefon dan melayari internet tanpa tujuan. 

Adalah lebih baik kita beralih kepada membaca buku dan artikel atau mendengar podcas. Ia bukan sahaja lebih bermakna dan membina pengetahuan malah dapat meluaskan perspektif kita dalam mebina peribadi dan perkembangan karier profesional  .


Bersyukur dan visualisasi

Sebelum melangkah hari yang semakin mencabar, luangkan masa untuk merenung kembali kepada perkara yang penting bagi anda dan bersyukurlah. "Visualise" realiti yang anda inginkan di dalam hidup anda. 

Amalan ini akan membantu anda berpuas hati dengan apa yang anda telah miliki hari ini serta berfikiran positif tentang masa hadapan. Ini akan mendorong anda untuk terus berusaha dan bekerja lebih keras lagi untuk mencapai kejayaan. 


Fikiran positif begini dapat membantu anda menempuh hari-hari dengan penuh keyakinan dan berdaya tahan. Bersedia mental dan minda untuk menangani cabaran dengan sikap terbuka dan tenang.


Sediakan "to-do list"

Merancang dan membuat senarai "list-to-do" sangat membantu untuk anda meringan beban dalam perkara-perkara yang perlu dilakukan. Ini adalah satu cara terbaik dalam perancangan aktiviti seharaian. 

Malah, ianya bukan sekadar peta laluan aktiviti harian tetapi ia juga dapat membantu anda mengenalpasti perkara penting yang perlu dilakukan terlebih dahulu,


Kesimpulan

Kejayaan bukanlah suatu KEBETULAN tetapi ia adalah satu PERJALANAN yang mempunyai proses dan peraturannya. Melalui usaha, kesungguhan, pilihan dan tindakan yang sengaja diambil. 


Jika anda menginginkan Kejayaan sebagai satu KEBIASAAN, maka anda perlulah meluangkan masa dan tenaga yang luar biasa untuk mencapai kejayaan tersebut. Dengan mengamalkan 7 perkara ini sebagai rutin harian, anda mungkin boleh mencipta tiang asas yang kukuh untuk mencapai kejayaan yang diingini.

Ad Code

Responsive Advertisement