Hidangan roti jala sukatan cawan yang lembut dan sedap bersama kuah kari pekat.

Assalamualaikum. 

Hari ini Cik Suri akan kongsikan resepi roti jala yang sangat menjadi dan pastinya tidak akan gagal. Tekstur roti jala yang lembut dengan lemak santan memang sedap bila dimakan bersama dengan kuah kari. 


Sesuai dijadikan sebagai hidangan waktu petang atau juga sebagai hidangan ketika tetamu bertandang. Malah, pada bulan Ramadhan punianya menjadi salah satu menu yang perlu disediakan.


Roti jala ini Cik Suri hidangkan bersama dengan kari kambing. Namun, untuk posting ini Cik Suri tidak akan kongsikan cara membuat kari kambing. Maaf ya sebab Cik Suri malas hendak menulis panjang lebar. Cik Suri akan cuba  tulis di posting yang lain.

Ini adalah cara paling ringkas yang dapat Cik Suri kongsikan. Bahan-bahan yang digunakan tidaklah terlalu banyak dan sukar untuk didapati. Cara membuatnya pun mudah juga. 

Cik Suri harap perkongsian ini dapat memberi manfaat untuk anda yang membacanya. Selamat menjala.

Okay, teruskan membaca.

Bahan-bahan untuk adunan roti jala

Bahan-bahan yang diperlukan sangat mudah untuk diperolehi. Boleh beli di mana-mana pasaraya ataupun kedai runcit. 

  • 3 cawan tepung gandum
  • 3 1/2 cawan air santan cair - boleh juga diganti dengan susu cair 
  • 1 sudu besar minyak masak
  • 1 butir telur
  • Sedikit garam
  • Pewarna kuning atau lain-lain warna pilihan


Cara-cara membuat roti jala

  • Sukat tiga cawan tepung gandum ke dalam bekas yang bersesuaian.
  • Dalam bekas yang lain, satukan telur dan santan cair kemudian kacau sebati. Campuran telur dan santan cair ini boleh terus dimasukkan ke dalam bekas tepung gandum.
  • Kemudian, masukkan minyak masak, sedikit garam dan pewarna. Kacau adunan sebati sehingga tiada sisa ketulan gandum.
  • Sekiranya masih ada ketulan tepung gandum, anda boleh gunakan penapis untuk asingkan ketulan itu.

  • Masukkan adunan ke dalam botol sos yang bermuncung dan kiraikan di atas kuali leper pada api sederhana. Boleh kirai berbentuk bulat atau juga petak-petak. 
  • Apabila adunan sudah masak, bolehlah diangkat ke pinggan dan gulung ia.  
  • Dah siaaap.... dan boleh dihidangkan bersama kari ayam atau daging atau kambing. Boleh juga dihidangkan bersama kuah serawa durian.


Tips anti-gagal dan pasti menjadi corak yang cantik

  1. Anda juga boleh menggunakan "blender" untuk memudahkan dan juga menjimatkan masa. Caranya dengan memasukkan semua bahan-bahan di atas kedalam pengisar dan kisar ia sehingga kesemua bahan sebati. Kemudian tapis ke dalam botol sos atau acuan roti jalan.
  1. Sekiranya anda sukar untuk mendapatkan santan cair, anda juga boleh menggantikan santai cair dengan susu cair atau susu sejat. Hasilnya tetap sama cuma rasanya kurang lemak.
  1. Andai kata anda tidak mempunyai telur, boleh sahaja "skip" dan digantikan dengan susu sejat. Inshaa Allah, menjadi juga roti jalanya. Cik Suri pernah cuba juga. 

Akhir kata, selamat menjala semua. Jangan lupa komen jika anda berjaya membuat roti jala.
Peanut Chocolate Soft Cookies yang tebal, lembut dan chewy

Pernahkah anda mencuba soft cookies sebelum ini? Saya secara peribadinya belum pernah mencuba lagi soft cookies daripada mana-mana cafe mahupun kedai bakeri. 

Dua, tiga hari kebelakangan ini, selalu sahaja muncul resepi soft cookies di ruangan For Your Page (fyp) TikTok. Jadi saya akan cuba untuk membuat soft cookies daripada salah resepi viral itu.

Bagaimanapun, saya akan buat sedikit olahan daripada resepi asal untuk memenuhi selera dan citarasa saya. Antaranya, dengan mengurangkan sedikit kemanisan dan menambah kekacang bagi memberikan tekstur yang sedikit ranggup. Maka, hasilnya saya namakan sebagai "Peanut Chocolate Soft Cookies"!

Soft cookies adalah sejenis biskut yang mempunyai tekstur yang kenyal (chewy) dan lembut di dalamnya tetapi ranggup di bahagian luar. Kebiasaannya, biskut tradisional yang biasa kita makan akan terasa ranggup sepenuhnya tetapi bagi soft cookies ini sangat berbeza dan pasti rasanya memang sangat sedap.

Rahsia Tekstur Biskut yang Kenyal dan Lembut

Adunan biskut ini sebenarnya menggunakan bahan-bahan asas yang kita gunakan untuk doh biskut seperti tepung gandum, garam, gula, mentega, telur dan esen vanila. Namun,  apa yang membezakan soft cookies dengan biskut biasa adalah ialah sukatan dan suhu bahan semasa adunan doh disediakan: 

  • Mentega cair - Mentega yang dicairkan akan menghasilkan tekstur yang kenyal dan lembut pada biskut. Selain itu, penggunaan mentega yang dicairkan juga memudahkan kerja kerana kita tidak menggunakan pengadun (mixer) - cukup sekadar mengacau menggunakan senduk kayu atau whisk. Doh biskut akan lebih lembut dan tidak melekit apabila kita gaulkannya dengan coklat cip disebabkan mentega cair.
  • Lebihkan gula perang - Saya menggunakan nisbah gula 2:1, iaitu 50 gram gula putih dan 100 gram gula perang. Kelembapan yang tinggi di dalam gula perang memainkan peranan penting untuk memberikan rasa yang lebih kenyal pada biskut.


Tekstur adunan doh peanut chocolate soft cookies

Tips Penting untuk Mendapatkan Doh yang Cantik

  • Doh perlu disejukkan/dibeku terlebih dahulu - Petua utama untuk mendapatkan biskut yang kenyal adalah dengan mengeraskan doh di dalam peti sejuk seketika. Ini bertujuan supaya adunan doh dapat "set" dan sebati sepenuhnya selepas diadun atau digaul. Doh yang sejuk juga dapat mengekalkan ketebalan biskut dan menghalangnya daripada menjadi terlalu leper semasa dibakar. 
Nota: Pastikan adunan ditutup rapat dengan pembungkus plastik (wrap) atau penutup bekas. Anda boleh menyejukkannya selama 2 hingga 3 jam malah adunan ini mampu bertahan selama 3 hingga 5 hari  di dalam peti beku.
  • Bulatkan doh dengan ketebalan yang sesuai - Doh yang di bentuk tebal akan menghasilkan biskut yang tebal dan lebih lembut di dalamnya. Semakin nipis doh, biskut akan menjadi lebih ranggup dan akan kehilangan tekstur lembut di bahagian dalamnya.

Bahan-bahan untuk membuat Peanut Chocolate Soft Cookies

  • 115 gram marjerin atau mentega - dicairkan dan dibiarkan sejuk/suam-suam kuku
  • 100 gram gula perang (disesuaikan daripada nisbah 2:1)
  • 50 gram gula putih
  • 1 biji telur (pada suhu bilik - biarkan seketika di luar jika telur anda di simpan di dalam peti ais)
  • 1 sudu kecil esen vanila
  • 160 gram tepung gandum
  • 1/2 sudu kecil baking soda
  • Sedikit / secubit garam
  • 250 gram coklat cip (chocolate chips)
  • 100 gram kacang tanah (disangai dan dihancurkan kasar)
  • Chocolate Coins secukupnya (sebagai hiasan di atas biskut)

Cara membuat Peanut Chocolate Soft Cookies

  1. Sediakan Oven & Mentega: Panaskan dahulu oven pada sehingga suhu 175°C. Cairkan marjerin/mentega di atas dapur dengan api kecil supaya mentega tidak terlalu panas atau hangus (masak sehingga bertukar sedikit keperangan). Anda juga boleh mencairkannya menggunakan ketuhar gelombang mikro (microwave). Biarkan mentega cair itu menjadi suam suam atau sejuk sepenuhnya.
  2. Ayak Bahan Kering: Ayak campuran tepung gandum, baking soda dan garam di dalam mangkuk adunan (mixing bow). Ketepikan seketika. 
  3. Sebatikan Gula dan Mentega: Apabila mentega sudah suam / sejuk, masukkan gula perang dan gula putih. Kacau perlahan-lahan menggunakan senduk kayu atau whisk sehingga adunan sebati dan tiada butiran gula yang kasar. 
  4. Masukkan Telur: Masukkan sebiji telur dan kacau rata, kemudian diikuti dengan satu sudu kecil esen vanila. Pastikan kesemua bahan digaul sehingga benar-benar sebati.
  5. Satukan Adunan: Kemudian masukkan campuran tepung yang telah diayak tadi bersama-sama dengan coklat cip dan kacang tanah hancur. Gaul perlahan sehingga semuanya bercampur rata.
  6. Rehatkan Doh: Tutup mangkuk adunan doh dengan penutup bekas atau wrapping plastic. Simpan di dalam peti sejuk selama 2 hingga 3 jam (boleh juga dibulatkan doh siap-siap sebelum disejukkan)
  7. Sedia untuk Bakar: Sebelum doh dibakar, keluarkan doh daripada peti sejuk dan biarkan ia  sedikit lembut pada suhu bilik selama 10 hingga 15 minit. Susun adunan yang telah dibulatkan di atas dulang pembakar. Hiaskan dengan chocolate coins di atas biskut. Pastikan dulang pembakar telah dilapik dengan baking paper supaya biskut tidak melekat apabila masak.
  8. Proses Membakar: Bakar di dalam oven selama 12 hingga 15 minit pada suhu 175°C. Apabila bahagian tepi biskut kelihatan perang  itu menandakan biskut sudah masak sepenuhnya.
  9. Sejukkan & Simpan: Biarkan biskut menyejuk di atas rak dawai (wire rack). Setelah sejuk, simpan biskut di dalam bekas kedap udara pada suhu bilik. Biskut ini boleh bertahan dan sekak ranggup sehingga seminggu!
Selamat mencuba!

Popular Post