Resepi Roti Jala Anti-Gagal



Assalamualaikum. 

Hari ini Cik Suri akan kongsikan resepi roti jala yang sangat menjadi dan pastinya tidak akan gagal. Tekstur roti jala yang lembut dengan lemak santan memang sedap bila dimakan bersama dengan kuah kari. 

Sesuai dijadikan sebagai hidangan waktu petang atau juga sebagai hidangan ketika tetamu bertandang. Malah, pada bulan Ramadhan punianya menjadi salah satu menu yang perlu disediakan.


Roti jala ini Cik Suri hidangkan bersama dengan kari kambing. Namun, untuk posting ini Cik Suri tidak akan kongsikan cara membuat kari kambing. Maaf ya sebab Cik Suri malas hendak menulis panjang lebar. Cik Suri akan cuba  tulis di posting yang lain.

Ini adalah cara paling ringkas yang dapat Cik Suri kongsikan. Bahan-bahan yang digunakan tidaklah terlalu banyak dan sukar untuk didapati. Cara membuatnya pun mudah juga. 

Cik Suri harap perkongsian ini dapat memberi manfaat untuk anda yang membacanya. Selamat menjala.

Okay, teruskan membaca.

Bahan-bahan untuk adunan roti jala

Bahan-bahan yang diperlukan sangat mudah untuk diperolehi. Boleh beli di mana-mana pasaraya ataupun kedai runcit. 
  • 3 cawan tepung gandum
  • 3 1/2 cawan air santan cair - boleh juga diganti dengan susu cair 
  • 1 sudu besar minyak masak
  • 1 butir telur
  • Sedikit garam
  • Pewarna kuning atau lain-lain warna pilihan

Cara-cara membuat roti jala
  • Sukat tiga cawan tepung gandum ke dalam bekas yang bersesuaian.
  • Dalam bekas yang lain, satukan telur dan santan cair kemudian kacau sebati. Campuran telur dan santan cair ini boleh terus dimasukkan ke dalam bekas tepung gandum.
  • Kemudian, masukkan minyak masak, sedikit garam dan pewarna. Kacau adunan sebati sehingga tiada sisa ketulan gandum.
  • Sekiranya masih ada ketulan tepung gandum, anda boleh gunakan penapis untuk asingkan ketulan itu.
  • Masukkan adunan ke dalam botol sos yang bermuncung dan kiraikan di atas kuali leper pada api sederhana. Boleh kirai berbentuk bulat atau juga petak-petak. 
  • Apabila adunan sudah masak, bolehlah diangkat ke pinggan dan gulung ia.  
  • Dah siaaap.... dan boleh dihidangkan bersama kari ayam atau daging atau kambing. Boleh juga dihidangkan bersama kuah serawa durian.

Tips :-
  1. Anda juga boleh menggunakan "blender" untuk memudahkan dan juga menjimatkan masa. Caranya dengan memasukkan semua bahan-bahan di atas kedalam pengisar dan kisar ia sehingga kesemua bahan sebati. Kemudian tapis ke dalam botol sos atau acuan roti jalan.
  2. Sekiranya anda sukar untuk mendapatkan santan cair, anda juga boleh menggantikan santai cair dengan susu cair atau susu sejat. Hasilnya tetap sama cuma rasanya kurang lemak.
  3. Andai kata anda tidak mempunyai telur, boleh sahaja "skip" dan digantikan dengan susu sejat. Inshaa Allah, menjadi juga roti jalanya. Cik Suri pernah cuba juga. 
Akhir kata, selamat menjala semua. Jangan lupa komen jika anda berjaya membuat roti jala.

No comments:

Ad Code

Responsive Advertisement