Showing posts with label Islam and I. Show all posts
Showing posts with label Islam and I. Show all posts

 Assalamualaikum.


SELEPAS HARI RAYA AIDILFITRI, umat Islam akan mula sibuk dengan persiapan untuk menyambut kedatangan bulan Zulhijjah pula. Bulan Zulhijjah adalah antara bulan terpenting menurut kalendar Islam. Bulan di mana umat Islam akan pergi mengerjakan ibadah haji di Mekah dan seluruh umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha. Ibadah Qurban juga akan dilakukan pada Hari Raya Aidiladha.


Di dalam bulan Zulhijjah ini, waktu yang paling ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam adalah Hari Arafah di mana para jemaah haji akan berwukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijjah. Berdoa dan bermunajat kepada Allah s.w.t dengan bersungguh-sungguh pada Hari Arafah adalah amalan yang paling terbaik. 


Sangat beruntunglah bagi mereka yang sedang mengerjakan ibadah Haji kerana apabila seorang Islam itu selesai menunaikan haji mereka, maka diampunkan segala dosa-dosanya. Sesungguhnya menyempurnakan haji dengan berwukuf di Padang Arafah merupakan rukun haji yang sangat agung.


Seperti sabda Rasulullah s.a.w.

الْحَجُّ عَرَفَةُ

Maksudnya, "Haji itu berada di Arafah." 

Daripada Riwayat Ibnu Majah (3015), al-Nasaie (3016), Ibnu Khuzaimah (2822) di dalam Sohihnya, Imam Ahmad (18774) di dalam Musnad.


Kelebihan Doa Hari Arafah

Hari Arafah merupakan hari pelepasan daripada api neraka dengan Allah s.w.t. melepaskan daripada azab api neraka bagi mereka yang berwukuf dan juga bagi umat Islam lain yang tidak berwukuf (yang tidak menunaikan haji). 


Oleh itu, hari selepas waktu wukuf dijadikan hari perayaan iaitu Hari Raya Aidiladha sebagai tanda kesyukuran kerana setiap umat Islam layak mendapat keampunan dosa dan terlepas daripada azab api neraka pada hari Arafah.


Berdoa di Hari Arafah mempunyai banyak kelebihannya. Seperti yang diriwayatkan di dalam beberapa hadis shohih. Antaranya;


Daripada Abdullah bin 'Amr, Rasulullah bersabda; 


"Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah dan sebaik-baik apa yang aku dan nabi-nabi sebelumku katakan adalah


لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang satu, dan tiada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian dan DIA Maha Berkuasa atas segala sesuatu.


Hadis riwayat At-Tarmizi - (Hadis Hasan)


Doa Terbaik di Hari Arafah

Antara doa terbaik untuk Hari Arafah yang disarankan oleh JAKIM;


1- Ya Allah, kurniakanlah padaku kejayaan terbesar - selamat daripada api neraka dan masukkanlah aku ke dalam syurga Firdaus-Mu.


2- Ya Allah, masukkanlah aku dan keluargaku dalam golongan yang beriman. Jadikanlah tangan kanan kami, tangan yang menerima kitab amal kami di hari pembalasan nanti.


3- Ya Allah, kurniakanlah padaku kematian yang diberkati. Izinkan aku mengucap syahadah sebelum aku menghembuskan nafas terakhirku. Kurniakanlah kepadaku syafaat Rasulullah s.a.w.


4- Ya Allah, Kau masukkanlah aku di dalam kalangan Rasulullah s.a.w, keluarganya dan para sahabat di Syurga Firdausi.


5- Ya Allah, selamatkanlah sahabat-sahabatku yang bukan Islam dan kurniakanlah mereka hidayah Islam.


6- Ya Allah, satukanlah aku di dalam syurga dengan orang-orang yang aku sayangi semata-mata kerana-Mu.


7- Ya Rabb, sempurnakanlah agama-ku dan ibadah-ku. Selamatkan aku daripada kejahatan dan izinkan aku menyempurnakan sebahagian daripada agamaku.


8- Ya Allah terimalah amalan baikku dan tingkatkan pahala dan rahmat untukku. Padamkan dosa-dosaku dan ampunkan aku sepenuhnya. Limpahi rahmatMu untukku dan selamatkanlah aku dari kehinaan pada hari hitungan amal.


9- Ya Allah, apabila aku telah meninggal, biarlah jiwaku dan rekod amalanku menjadi amalan tertinggi


10- Ya Allah kurniakan aku, ibu bapaku, keluarga dan anak-anakku bimbingan, ketabahan dan peningkatan Iman.


11- Ya Allah, masukkan aku dalam golongan yang Engkau lindungi, mendapat pengampunan Mu dan mendapat naungan pada hari ketika tidak ada naungan selain dari Arash Mu.


12- Ya Tuhanku, tingkatkan keyakinan dan tawakkalku pada-Mu. Janganlah ada keraguan dalam hatiku.


13- Ya Allah tingkatkanlah kecintaanku untuk Mu dan Nabi Mu (saw).


14- Ya Allah ampunilah aku dan tingkatkanlah kurnian Rahmat dan Rezeki Mu


15- Ya Allah berilah aku lebih banyak peluang untuk berbuat baik dan mendapat keredhaanmu.


16- Ya Allah Ya Rabb, sucikan niatku hanya untuk-Mu semata-mata dan lindungi aku dari sifat menunjuk-nunjuk atau kebanggaan yang palsu. Selamatkanlah aku dari sifat angkuh, sombong, menunjuk-nunjuk dan mengungkit-ungkit nikmat.


17- Ya Allah Tuhan Penciptaku, janganlah Kau biarkan aku sendirian. Berkati aku dengan pasangan yang bertanggungjawab pada agama-Mu dan kurniakanlah kepadaku anak-anak soleh-solehah yang akan menjadi penyejuk hatiku.


18- Ya Tuhanku, jadikanlah aku dari orang-orang yang sabar dan patuh kepada perintah-Mu dan patuh kepada ibu bapaku.


19- Ya Allah, Kau selamatkanlah aku dari fitnah Dajjal.


20- Ya Allah, Tuhan Yang Maha Penyayang, Kau selamatkanlah aku daripada siksaan azab kubur yang menyakitkan dan juga azab api neraka yang menakutkan itu.


21. Ya Allah, tingkatkanlah usahaku dalam kerja-kerja Sadakatul Jariah.


22. Ya Allah, berkati hidupku dengan kesihatan yang baik, agar aku dapat bersujud kepada-Mu dengan mudah sehingga akhir hayatku.


23. Ya Allah, lindungilah aku dan seluruh umat Islam dalam menentang penindas-penindas yang zalim. Selamatkan kami dari fitnah dan permudahkanlah urusan bagi kami mengharungi zaman yang sukar ini.


24- Ya Tuhanku, berkati hidupku dengan yang terbaik di dunia ini, yang terbaik di akhirat nanti dan selamatkanlah aku dari api neraka. Sesungguhnya aku memang memerlukan kurniaan dari-Mu, Ya Allah.


25- Ya Allah Tuhan Yang Maha Mendengar, tingkatkanlah kesyukuranku semata-mata kepada-Mu.


26- Ya Rabb, selamatkan aku dari kemunafikan.


27- Ya Allah, izinkan aku dan pasangku menjadi antara jemaah menunaikan Haji sebelum kami menutup mata. Jemputanlah kami untuk mengerjakan Haji ketika sihat tubuh badan dan ketika usia masih muda.


28- Ya Allah, lindungi kami dari syaitan, jin dan arak. Lindungi kami dari perbuatan jahat dan niat mereka.


29- Ya Allah, ampuni dosa-dosa dan berilah rahmat kepada ibu bapa kami, kerana mereka menjaga kami ketika kami masih kecil.


30- Ya Allah, aku berdoa dan memohon daripada-Mu untuk mengurniakan bimbingan kepada pemuda dan umat Islam. Selamatkan kami semua dari sifat  kufur, berputus-asa, salah laku dan syirik.


31- Ya Allah berikan aku kekuatan untuk melawan kemalasan dan tidur, semoga aku dapat bangun untuk tahajjud dan solat subuh setiap hari.


Akhir sekali, jangan lupa untuk perbanyakkan selawat ke atas junjungan kesayangan kita semua, Nabi Muhammad s.a.w.

Semoga Allah s.w.t. memberi keampunan kepada kita. Semoga kita semua dapat menjadi penghuni syurga tertinggi, Syurga Firdaus.



ADAKAH ANDA SEORANG YANG SUSAH UNTUK TIDUR? Susah untuk lelapkan mata sehingga menyebabkan anda STRESS?

Solat Sunat Witir Membantu Atasi Insomnia

Assalamualaikum, teman-teman blog walkers. 

Mungkin di kala ini anda sedang blog walking di malam hari kerana sukar untuk tidur. Atau anda seorang pengidap insomnia yang kronik. 

Kalau benar anda seorang pengidap insomnia. Ingin tahu bagaimana Cik Suri ubati masalah insomnia?

Jom, kita bercerita tentang amalan yang sangat membantu Cik Suri untuk mengatasi penyakit insomnia.

KISAH CIK SURI YANG SUSAH TIDUR MALAM a.k.a INSOMNIA

Cik Suri adalah seorang yang sangat susah untuk tidur. Dan, jika tidur pasti akan terjaga kembali pada tengah-tengah malam antara jam dua-tiga pagi. Ini menyebabkan Cik Suri terjaga sehingga pagi. Mestilah perasaan takut apabila terjaga tengah-tengah malam. Kepala otak pasti akan memikirkan hal-hal mistik. Mata melilau memandang ke bumbung rumah.

Tips Mengatasi Masalah Insomnia Kronik

Pernah juga Cik Suri cuba untuk menunaikan solat sunat tengah malam a.k.a Solat Sunat Tahajud dan sewaktunya, tetapi hendak keluar pergi  ke bilik air pun takut. Lepas itu, bila dah berjaya ambil wuduk, solat pula tidak tenang sebab tengah malam dan kepala otak fikir monster a.k.a momok a.k.a hantu keluar dari bawah katil...

hahaha...tak lawak, okey!!!

Ekstrem nya pemikiran.

Langkah Atasi Insomnia dengan Solat Sunat Witir

Pelbagai cara yang telah Cik Suri lakukan untuk lelapkan mata. Berzikir, kira bilangan tasbih, kira biri-biri, pasang bacaan al-quran dari youtube, baca buku dan bermacam-macam lagi. 

Tutup mata dan paksa otak supaya jangan bercakap. Sehingga terlena tetapi sebenarnya bila terjaga dari tidur sakit kepala kerana penat memaksa otak. 

Tetapi... 

Pada Ramadhan yang lalu, Cik Suri telah lakukan satu eksperimen dan keputusannya hampir 95% berjaya.

Apa rahsianya?

Jawapannya adalah menunaikan Solat  Sunat Witir tiga rakaat selepas solat isyak. Alhamdulillah, ia sangat berkesan hampir 100%. 

Tak percaya?

Korang cuba dahulu.

Bagaimana Cik Suri dapat idea ini?

Sebenarnya idea ini datang selepas Cik Suri terfikir, kenapa selepas solat terawih, Cik Suri pasti akan cepat mengantuk dan terus tertidur lena. Ingatkan sebab penat berpuasa sepanjang hari, atau perut kenyangan. 

Rupanya... Rahsianya adalah Solat Sunat Witir!!!

Ada satu hari tu Cik Suri menonton video Ustaz Wadi Anuar yang berpesan, lakukan solat sunat witir setiap hari selepas solat isyak, jadikan sebagai amalan.Tetapi, tidak pula dikatakan yang solat sunat witir boleh buat kita tidur lena.

Selepas berlalunya bulan Ramadhan, Cik Suri cuba teruskan amalkan solat sunat witir tiga rakaat selepas solat isyak. Cik Suri buat pemerhatian dalam tempoh masa seminggu untuk melihat keberkesanan solat sunat witir ini. 

Yes!!!

Alhamdulillah!!! Keputusannya Cik Suri sangat mudah terlena. Sedar-sedar sudah azan subuh. Pasti akan terjaga seawal jam 5-6 pagi. Kemudian, Cik Suri teruskan sehari demi sehari dan jawapannya, alhamdulillah sangat mudah terlena. Tiada lagi insomnia yang teruk. 

Kalau dulu, rajin solat sunat witir kerana solat terawih di bulan Ramadhan. Sekarang, tidak lagi. Akan Cik Suri ikhtiarkan untuk terus mengamakan solat sunat witir dalam rutin seharian.

Solat Sunat Witir Amalan Yang Wajar Dilakukan Setiap Hari 

Dulu, setiap kali berjemaah di masjid, Cik Suri akan akhirkan dengan Solat Sunat Witir. Bila tidak ke masjid, selesai solat isyak di rumah, terus lipat telekung. Tak buat dah solat sunat witir.

Sebenarnya solat sunat witir adalah antara solat sunat yang kita boleh lakukan setiap hari. Tidak perlu tunggu untuk "qiam" baru lakukan solat sunat witir sebagai penutup. Sebenarnya, solat lima waktu juga boleh ditutup dengan solat sunat witir tiga rakaat, tanpa menunaikan solat sunat yang lainnya. 

Hendak lagi baik, lakukan bersama solat sunat yang lain seperti dua rakaat sebelum subuh, sunat rawatib, solat sunat dhuha, solat sunat hajat dan lain-lainnya.

Witir bermaksud Ganjil, sebab itu disarankan untuk kita lakukan dengan jumlah bilangan rakaat ganjil seperti satu rakaat, tiga rakaat, lima rakaat, dan se-afdalnya dilakukan sebanyak 11 rakaat.

Kebiasaanya, paling kurang satu rakaat atau tiga rakaat dengan dua salam.

Solat witir ialah sunat mu'akkad, yang bermaksud digalakkan untuk melakukan amalan tersebut dalam Islam.

Okay, 

Setakat ini sahaja perkongsian Cik Suri berkenaan Solat Sunat Witir. Sesungguhnya solat sunat witir ini adalah amalan dan sunnah daripada junjungan kesayangan kita semua, Nabi Muhammad s.a.w.

Tips Atasi Masalah Insomnia

Inshaa Allah,  

Jika diberi peluang dan keizinan dari ALLAH s.w.t, Cik Suri cuba untuk share lagi tips-tips dan amalan yang boleh memudahkan urusan harian kita.

Perkongsian tentang Solat Sunat Witir ini hanyalah salah satu amalan yang sangat membantu Cik Suri untuk mengubati masalah sukar tidur (insomnia). Tetapi keberkesanannya, ia bergantung kepada individu. Kemungkinan berkesan atau tidak, bergantung juga. Tetapi, tidak salah untuk MENCUBA.


Sekian dulu..

Cik Suri yang menulis


 


Assalamualaikum

Gerhana Matahari Cincin berlaku hari ini 26 December 2019. Gerhana Matahari Cincin atau nama lainnya iaitu Gerhana Anulus adalah fenomena gerhana matahari yang jarang sekali berlaku dan kali terakhir ia terjadi adalah pada 21 tahun yang lepas, di Mersing, Johor. Buat sekian kalinya, selepas 21 tahun, ia berlaku lagi sekali di mana kita boleh lihat fenomena ini di beberapa negeri antaranya di Terengganu.

Cik Suri juga berpeluang menyaksikan Gerhana Matahari Cincin ini pada tengahari tadi di antara jam 1230 sehingga 1330 petang. Keadaan menjadi gelap seketika (maksudnya seperti mendung), Cik Suri keluar dari rumah sambil memegang kamera untuk merakamkan detik tersebut.

Cik Suri pernah menyaksikan Gerhana Matahari beberapa tahun yang lepas, tetapi ia adalah berbeza dengan kejadian pada hari ini. Boleh rujuk kepada entri Cik Suri yang sebelum ini. Klik di sini.

MENGAPA GERHANA MATAHARI CINCIN BERBEZA DARIPADA GERHANA MATAHARI PENUH?

Ini adalah disebabkan apabila Bulan melalui tepat dihadapan Matahari tetapi disebabkan jarak kedudukan Bulan pada ketika itu adalah jauh sedikit daripada Bumi. Maka saiznya kelihatan sedikit kecil dan tidak dapat menutupi Matahari sepenuhnya. Jadi, ia akan kelihatan seperti sebentuk cincin.


bagaimanapun sebagai umat Islam, kita disarankan untuk melakukan Solat Sunat Gerhana (Gerhana Matahari dan Gerhana Bulan). Solat sunat gerhana ini boleh dilakukan secara berjemaah atau secara bersendiri. 

Bertepatan dengan sabda Rasulullah, 

"Dengan tanda-tanda ini Allah SWT menakutkan hamba-hambaNya. Maka apabila kamu melihatnya perlu kamu bersolat seperti solat yang baru dilakukan daripada solat-solat fardu" — Riwayat Bukhari

Demikianlah kita sebagai hamba, makhluk yang dicipta oleh Tuhan Yang Maha Esa, Lagi Berkuasa atas sesuatu, hendaklah kita sentiasa mengingati akan Kekuasaan-Nya. Bertasbih, bertahmid lah memuji Allah.

Antara moment yang sempat CikSuri rakam.



Wassalam.

Assalamualaikum 

Pernah dengar tak pasal A Tile for Seville. Apa itu A Tile for Seville. Adakah sejenis kuih raya atau nasi arab atau...atau..atau...tak tahu lah? Tak pernah tahu dan tidak pernah nak ambil tahu?

A Tile for Seville adalah kempen mencari dana untuk menaja pembinaan sebuah masjid di sebuah tempat yang bernama Seville, di Sepanyol. Pembinaan masjid ini adalah untuk membantu masyarakat Islam Sepanyol sebagai tempat beribadat dan secara tak langsung sebagai pusat pentadbiran dan penyebaran agama Islam. Jumlah anggaran dana yang diperlukan adalah sebanyak 18juta Euro untuk pembelian tapak dan juga proses pembinaan masjid tersebut.

Kempen A Tile for Seville ini telah dirasmikan pada 24 May 2016. Kempen ini akan berlangsung sedari May dan akan berakhir pada November 2016. Kempen selama enam bulan ini adalah usahasama antara Ukhwah for Ummah dan Fundacion Mezquita de Sevilla. Ia diwakilkan oleh empat orang selebriti Islam Malaysia iaitu Fafau (Fara Fauzana), Diana Amir, Fynn Jamal dan Heliza Helmi.


Apa yang perlu kita lakukan untuk menyokong A Tile for Seville ini. Kempen ini tidak memerlukan kerja-kerja berat, fizikal yang mantap dan sado. Apa yang perlu kita lakukan hanyalah dengan mengeluarkan RM 10 sebagai sedekah atau sumbangan bagi membina masjid itu. Haaa…tu dia, dengan RM 10 tetapi kita akan mendapat pulangan atau saham yang lumayan di akhirat nanti. Siapa tak mau kan. Saya pun nak, lagi-lagi pada sepuluh malam terakhir Ramadhan ni. Jom, ramai-ramai keluarkan sedakah untuk muslim di Seville nih.


Bagaimana hendak salurkan sumbangkan itu.  Sumbangan boleh dibuat dengan cara tunai, cek dan juga melalui transaksi bank kepada account rasmi A Tile for Seville. Jangan pulak ke account saya. Saya tak terlibat dalam kempen ni. Saya cuma orang biasa yang cuba mengajak kawan-kawan membantu masyarakat Islam yang lain. Untuk sumbangan kawan-kawan semua bolehlah merujuk kepada web rasmi ukhwah for ummah iaitu http://www.ukhwahforummah.org/ atau ig rasmi @ukhwahforummah dengan #atileforseville. Disitu mereka telah ajarkan cara-cara untuk kita boleh salurkan sumbangan.

Kenapa nak buat masjid dekat Spain, kenapa tak di Malaysia saja. Takutnya nak jawab soalan macam ni. Nantikan kena kecam kalau tersalah tulis. Hehehe. Takdelah gurau jer.

Buat pengetahuan sahabat-sahabat, kenapa tercetusnya idea untuk pembinaan masjid di Seville ni. Ini adalah inisiative masyarakat Islam Malaysia dan juga Sepanyol.

Sahabat-sahabat yang dikasihi… ececece…macam dalam pertandingan debat pulak… J J J

Seville adalah sebuah bandar di Spain yang diduduki oleh minority beragama Islam di Sepanyol. Terdapat anak-anak muda di bandar ini yang giat berusaha untuk membersihkan nama Islam dari segala tuduhan negatif terhadap Islam. Kita juga sedia tahu sejarah asal-usul Islam di negara Sepanyol, kan.

Mereka ini telah menyewa sebuah rumah kedai dan dijadikan sebagai musolla untuk masyarakat Islam menunaikan solat lima waktu dan mengadakan kelas mengaji al-Quran. Dan, ada saja masyarakat Eropah yang mengucapkan kalimah syahadah di musolla itu. 

Untuk makluman sahabat, sudah hampir 10 tahun mereka memohon agar kerajaan Sepanyol membina sebuah masjid tetapi agak mustahil hasrat mereka ini untuk ditunaikan. Lagi-lagi apabila ia adalah sebuah negara di bawah kepimpinan kerajaan bukan Islam.


Itulah serba sedikit yang boleh saya kongsikan melalui blog ini. Saya pun dapat tahu hal ini melalui instagram Farah Fauzana dan Diana Amir. Tiba-tiba terminat pula dengan projek yang mereka war-warkan dan usahakan ini. 

Itulah, tergerak hati pula dan terasa hendak ajak kawan-kawan join saya. Mana tau kan, ada sahabat-sahabat yang berkenan di hati hendak salurkan sumbangan untuk sahabat-sahabat muslim kita di Sepanyol. Ganjaran akhirat tu, siapa tak nak kan. Saya nak jugakkkk….

Info adalah dari web UkhwahforUmmah. 

Dan, 
boleh tengok video "Travelog A Tile For Seville" di YouTube Channel.

Mohon halal yerr… J J J  


Wassalam
Assalamualaikum…

Salam Maulidur Rasul Semua…
Salam Hari Kekasih Allah...
Walaupun sudah lepas beberapa hari, tetapi masih lagi ada siaran-siaran tv yang menayangkan program ceramah tentang sirah Nabi Muhammad s.a.w, nabi kesayangan kita semua. Alhamdulillah.
In Shaa Allah.

Sayu hati setiap kali mendengar ustaz-ustaz di kaca TV menceritakan kisah-kisah suka duka Rasulullah s.a.w.

Sedih. Dalam menghayati setiap patah kata-kata yang diucap. Membayangkan betapa peritnya pengorbanan Rasulullah s.a.w dalam usaha untuk menegakkan syiar Islam yang agung ini. Allahu Akbar. Subhanallah…

Membayangkan diri ini, jika diletakkan pada zaman itu. Tidak pasti adakah diri ini tergolong dalam kumpulan Islam yang baru ingin bersinar atau tergolong di kalangan kaum-kaum musyrikin yang kencang membuat ancaman kepada kumpulan Islam. Mampukah diri ini berjuang mempertahankan Islam atau diri ini adlah orang yang akan menentang dan melakukan kekejaman terhadap orang Islam. Allahu Akbar. Timbul perasaan takut di dalam hati ini. Takut untuk membayangkannya. Ya Allah!!!

Ingin sekali berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. Bagaimanakah rupa Rasulullah s.aw. agaknya. Mesti raut wajah sinar bercahaya dan tenang hati memandang. Budi pekerti sungguh mulia, kasih sayangnya tiada tandingan.

Di dalam diri setiap ummat Islam telah ada Rasulullah s.a.w. 
Telah ditinggalkan kepada kita, kasih sayangnya, akhlaknya, Cuma kita perlu mempertahankannya dan menghidupkannya melalui sunnah yang telah ditinggalkan untuk panduan kita.



Andai kata ditakdirkan ajal menjemput cepat atau lambat, Ya Allah, matikan lah aku dalam agama-Mu, Islam.

SALAM MAULIDUR RASUL

by on January 28, 2013
Assalamualaikum… Salam Maulidur Rasul Semua… Salam Hari Kekasih Allah... Walaupun sudah lepas beberapa hari, tetapi masih lagi ada siar...

Ad Code

Responsive Advertisement