PERNAHKAH anda mendengar tentang perihal "Buy Now Pay Later"? Atau anda memang langsung tidak pernah tahu apa itu Buy Now Pay Later (BNPL).
Konsep Buy Now Pay Later
Buy Now Pay Later atau "Beli Sekarang Bayar Kemudian" ialah satu konsep pembiayaan jangka masa pendek yang membolehkan pengguna membuat pembelian dan membayarnya dari semasa ke semasa dan biasanya tiada faedah dikenakan.
Semenjak kebelakangan ini, trend Buy Now Pay Later semakin menular melalui platform online-shopping seperti Shopee, Lazada, Grab PayLater, Atome dan banyak lagi platform yang lain.
Istilah Buy Now Pay Later adalah prinsip yang memberi anda peluang untuk berbelanja meski pun anda tidak memiliki wang pada waktu itu dan pembayaran boleh dibuat kemudian. Mungkin anda pernah dengar istilah "easy pay" yang selalu ditawarkan oleh kad kredit. Ianya hampir serupa tetapi ada perbezaan.
Bagaimana Buy Now Pay Later Berfungsi
Program BNPL ini biasanya mempunyai terma dan syarat yang berbeza-beza. Tetapi secara umumnya, ia menawarkan pinjaman jangka pendek dengan bayaran tetap dan tanpa faedah. Anda boleh menggunakan aplikasi BNPL untuk membuat pembelian atau anda bermungkinan telah mempunyai pilihan BNPL melalui kad kredit anda.
Melalui BNPL anda boleh membuat pembelian di mana-mana platform peniaga yang mengambil bahagian dan anda diberi pilihan untuk membeli dahulu dan membayarnya kemudian semasa proses pembayaran.
Jika pembelian diluluskan, anda berkemungkinan hanya perlu membuat bayaran pendahuluan yang kecil seperti contoh 20% daripada jumlah keseluruhan pembelian. Kemudian anda boleh membayar baki pembelian dalam satu siri ansuran tanpa faedah, biasanya dalam beberapa minggu atau bulan.
Pembayaran pula boleh dibuat melalui potongan secara automatik daripada akaun bank, kad debit atau kad kredit anda. Selain itu, pembayaran juga boleh dilakukan melalui cek atau bank transfer.
Kelebihan vs Kekurangan
Kelebihan Buy Now Pay Later
1- Cara yang mudah untuk membayar pembelian dari semasa ke semasa.
Antara kelebihan menggunakana platform BNPL ialah anda dapat membuat pembelian segera walaupun anda tiada wang pada ketika itu. Dengan berkonsepkan beli dulu bayar kemudian, anda boleh membuat bayaran awal pada jumlah yang kecil dan meneruskan bayaran secara ansuran dengan jumlah yang ditetapkan oleh BNPL.
Selepas pembelian pihak BNPL akan memberi maklumat terperinci berkenaan pembelian dan jadual pembayaran. Anda boleh membuat bayaran secara auto debit, pindahan melalui akaun simpanan atau melalui kad kredit pada tempoh ansuran yang lebih fleksibel.
2- Tiada faedah atau kadar faedah yang lebih rendah berbanding kad kredit.
Kebanyakan platform BNPL menawarkan kadar faedah 0% atau lebih rendah. Anda dapat menikmati pembelian tanpa dikenakan sebarang faedah atau cas tambahan. Namun begitu adalah sangat penting untuk anda memahami syarat dan terma sekiranya berlaku kelewatan pembayaran.
3- Kredit yang baik atau skor kredit yang tinggi tidak perlu untuk kelayakan.
Sesetengah platform BNPL tidak mengambil-kira kredit skor anda dalam proses meluluskan permohonan. Sekiranya anda tiada rekod kredit yang baik pun anda layak untuk memohon BNPL. Berbeza dengan permohonan kad kredit yang mana anda perlu mempunyai rekod kredit yang baik barulah permohonan akan dipertimbangkan dan diluluskan.
4- Proses kelulusan yang cepat.
Mudah diluluskan dan cepat itulah yang menjadi pilihan ramai orang untuk menggunakan BNPL jika dibandingkan dengan proses permohonan kad kredit yang sudah memerlukan dokumen sokong untuk kelulusan.
Kekurangan Buy Now Pay Later
1- Pembayaran boleh menjadi sukar untuk dijejaki.
Platfrom BNPL memberi peluang kepada nada untuk membeli lebih daripada satu barang dan pada bila-bila masa. Ini akan menyebabkan berlaku pertindihan dan menyukarkan anda untuk menjejaki bayaran yang dibuat pada sesuatu barang yang dibeli.
2- Pembayaran yang lewat boleh menjejaskan rekod skor kredit.
BNPL tidak menambahkan hutang kad kredit anda tetapi menambah hutang peribadi anda. Tetapi, skor kredit anda akan terjejas sekiranya gagal membuat bayaran
3- Tiada ganjaran atau pulangan tunai yang diperolehi daripada pembelian
Selain itu anda juga terlepas peluang untuk mendapat manfaat pulangan tunai atau mata ganjaran yang selalunya ditawarkan oleh pihak kad kredit.
4- Pembayaran mungkin diteruskan walaupun barang dipulangkan
Sekiranya anda berubah fikiran atau mempunyai masalah dengan barang yang dibeli melalui BNPL, ianya menjadi sukar untuk dipulangkan kembali. Ini kerana pihak peniaga perlulah memaklum terlebih kepada kreditor BNPL tentang bayaran balik dan ini menyebabkan anda lambat untuk menerima kembali wang yang telah dibayar.
Berkemungkinan juga anda terpaksa meneruskan bayaran jika tidak anda akan direkod sebagai bayaran tertungak atau tiada bayaran. Ini akan menyebabkan bayaran tambahan dikenakan atau akan menjejaskan skor kredit anda.
Tambahan:
Sebahagian platform BNPL akan mengenakan cas yang tinggi sekiranya berlaku tunggakan bayaran ansuran.
Tips Supaya Tidak Terjerat Dengan Buy Now Pay Later
Bagi mengelakkan diri daripada terjerat dengan BNPL anda boleh menilai beberapa langkah sebelum membuat keputusan.
Setiap individu mempunyai pilihan tersendiri sama ada untuk menggunakan BNPL atau tidak. Tetapi, anda boleh ikuti tips sebagai panduan
1- Fahami dan teliti terma dan syarat platform yang menawarkan Buy Now Pay Later
Sebelum anda membuat pembelian di platform BNPL adalah lebih baik untuk memahami dengan teliti berkaitan terma dan syarat yang dikenakan.
Perbezaan yang paling antara BNPL dan kad kredit ialah kad kredit biasanya mengenakan kadar faedah ke atas baki yang dibawa pada kitaran bil berikutnya. Walaupun ada sesetengah kad kredit menawarkan 0% fii tahunan tetapi ia mungkin terhad pada sesuatu tempoh sahaja.
Fii tahunan akan dikenakan kembali selepas melepasi tempoh yang ditawarkan, sebagai contoh satu tahun, tiga tahun atau lima tahun bergantung kepada tawaran platform tersebut.
Melalui kad kredit anda boleh membawa baki atau menggunakan talian kredit tanpa had.
Berbeza pula dengan BNPL yang mana ianya tidak mengenakan kadar faedah atau yuran tahunan. BNPL juga akan menetapkan jadual pembayaran balik yang tetap. Tetapi, kadar cas lewat bayar berkemungkinan lebih tinggi jika dibanding dengan kad kredit.
Bayaran muka dan setiap pembayaran ansuran melalui BNPL adalah sama. Seperti contoh anda membeli set sofa yang berharga RM3600 dan anda memilih untuk membayar dalam tempoh 12 bulan. Jadi bayaran muka yang perlu anda bayar adalah RM 300 dan ansuran bulanan juga RM300.
Kesimpulan daripada Cik Suri
Buy Now Pay Later pada asasnya sangat membantu untuk pembelian besar atau yang berharga mahal. Namun begitu, sekiranya ia tidak dikawal ia akan memberi kemudharatan kepada kewangan kita dan akan menambah komitmen bulanan.
Adalah lebih baik sekiranya kita dapat mengatur dan mengawal perbelanjaan bulanan. Perancangan kewangan adalah penting bagi mengelakkan berlaku situasi berhutang tanpa sedar ini (BNPL).
Selalulah ingat akan peribahasa ini
"Ukur baju di badan sendiri"
Kadang-kadang kita selalu yakin yang kita boleh berdisiplin dalam sesuatu perkara. Tetapi, sebenarnya kita selalu tewas dan lupa.
Jika artikel ini member manfaat kepada anda, jangan lupa untuk SHARE dan Komen.
Terima Kasih.