Thola al' badru a'laina, min tsaniyatil wada', wa jabassyukru a'laina, mada'a lillahida'. Menitis air mata tatkala mengalunkan salawat ini ketika berada di dalam bas menuju ke hotel yang berada di sekitar Masjid Nabawi.
Perasaan hiba mengoyak hati, mengenangkan perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. Kaki ini kini berada di tanah Madinah. Ya Rasulullah, aku datang kerana tersangat rindu padamu. Ya Rasulullah, sambutlah kedatangan umatmu yang tersangat kecil dan hina ini.
Assalamualaikum.
Alhamdulillah. Bersyukur kepada Allah kerana kurniaan ilham untuk berkongsi pengalaman Cik Suri di saat berada di bumi Madinah. Musafir selama 13 hari di Tanah Haram, Inshaa Allah semoga memberi manfaat kepada pembaca sekalian.
Pemusafiran selama enam hari di bumi Madinah dan lima hari di tanah Mekah adalah satu pengalaman yang tidak dapat Cik Suri dilupakan dan pastinya ia akan sentiasa menjadi kerinduan.
Pengalaman Berpuasa di Madinah
Ini adalah kali pertama Cik Suri melakukan ibadah umrah dan istimewanya pada bulan Ramadhan. Alhamdulillah. Sudah pasti ianya adalah pengalaman pertama berpuasa di sini.
Jadi Cik Suri mengambil peluang untuk kongsi pengalaman pahit dan pastinya yang manis juga pada korang yang sudi membaca.
Selipar Hilang di Masjid Nabawi
Sedihnya. Baru beberapa jam menjejak kaki di bumi Madinah, tiba-tiba selipar pula hilang, kena rembat barangkali. Itulah perkara pertama berlaku pagi-pagi hari di bumi Madinah ini. Diuji dengan rezeki kesabaran hati.
Ceritanya begini. Kami sampai di hotel lebih kurang jam 1130 malam ke tengah malam. Selepas urusan pembahagian bilik dan sebagainya selesai, Cik Suri terus berlari masuk ke bilik. Rezeki dapat pula bilik bertiga. Bilik yang selesa tetapi bukanlah bertaraf 5 bintang. Lagipun kita bukanlah 100% akan habiskan masa seharian di dalam bilik.
Eh!!! Berbalik kepada cerita asal. Selepas dapat kunci, masuk ke bilik, terus mandi dan berkenalan dengan rakan sebilik. Kami buat keputusan untuk bergerak ke masjid selepas bersahur. Makanan sahur kami dihantar ke bilik dalam bentuk "pack meal", tiada buffet. Jadi, terpaksalah makan di dalam bilik. Spesifiknya, di atas katil.
Pack meal untuk bersahur, hari pertama di Madinah. |
Selesai sahaja bersahur, lebih kurang jam 3 pagi, kami bertiga mula berjalan kaki ke Masjid Nabawi. Perjalanan mengambil masa lebih kurang dalam 10 minit kerana kami masih tidak familiar dengan jarak dari hotel. Kami cuma berpandukan kepada kubah hijau dari jauh dan mengikuti langkah pak-pak arab yang pastinya menuju ke arah yang sama.
Masuk sahaja ke dalam masjid, Cik Suri tidak bawa beg kasut. Jadi, menumpang bag kasut rakan sebilik. Terus letak di atas rak kasut yang disediakan. Kami iktikaf di dalam masjid sehinggalah sampai waktu subuh.
Selesai sahaja solat subuh dan solat jenazah. Cik Suri bagitahu teman, Kak H, yang Cik Suri ingin ke tandas. Jadi, Kak H pun mahu ikut bersama. Kami pergi tandas yang pasti ramainya orang sehingga terpaksa beratur panjang, kemudian kembali semula ke masjid. Tandas hanya sekitar masjid sahaja, turun tangga sudah nampak dari pintu masuk masjid bahagian wanita.
Bila naik semula ke masjid, Cik Suri cakap dekat Kak H,
"Takpelah Kak H, saya letak selipar dekat sini je lah. Tak payah masukkan dalam bag. TAK ADA APA-APA kut!!!"
Cik Suri yakin. Jadi, Cik Suri terus letakkan selipar di atas rak, bahagian paling bawah. Sebelah tempat asal kami letak tadi. Kak H letak seliparnya di tempat asal tanpa guna bag kasut juga. Rak kasut itu sebenarnya bahagian bawahnya hanya setinggi jarak tangan kita dari kaki. Maknanya, mudah nampaklah. Dalam hati Cik Suri memang sudah pasrah, sambil baca surah tiga Qul dan ayat Kursi. Jika ada rezeki, adalah tu. Terdetik begitu di dalam hati.
Kami terus gerak menuju ke tempat asal yang mana roommate lagi seorang jagakan bag, namanya Kak Z. Kami lepak di masjid sambil menunggu waktu dhuha. Selesai solat dhuha, hendak balik ke hotel. Time hendak kami ambil kasut, selipar Cik Suri sudah tiada di situ. Hilang!!! Allahu. Kejung sekejap.
Mula-mula ingatkan tersalah letak atau ada hamba Allah alihkan. Cubalah mencari-cari di sekitar rak kasut, atas-bawah, bahagian belah belakang. Yes, memang sudah tiada. Yakin sudah hilang. Masa ini terasa sedih juga di dalam hati. Selipar hilang, macam mana hendak balik ke hotel. Terbayang Cik Suri kena berjalan kaki ayam.
Cik Suri pusinglah rak kasut, dua tiga kali. Belah depan, belah belakang. Semua kasut orang lain. Selipar Cik Suri warna hitam, kali pertama pakai sebab baru beli sebelum berangkat untuk Umrah. Kiranya, khas untuk umrah.
Buntu, macam mana hendak dibuatnya. Kak Z pun cadangkan supaya cuba cari mana-mana selipar yang ditinggalkan orang lain. Alahai, manalah kita tahu selipar mana yang tidak bertuan.
Fikir punya fikir. Monolog di dalam hati, mohon ilham dari Allah. Terlihat satu selipar putih, tali hijau, betul-betul di dalam rak separas mata Cik Suri. Cik Suri pun ambil sebab yakin itu selipar wakaf. Terus pakai dan kami bergerak berjalan sekitar Masjid Nabawi.
Cik Suri memakai selipar wakaf. Terjumpa pula selipar yang tidak bertuan di sekitar masjid |
Di dalam hati, berfikir juga. Adakah ini ujian?
Banyak kali Cik Suri pujuk hati, pasti akan ada rezeki yang lain. Apa boleh buat, sudah rezeki orang yang mengambilnya dan bukan rezeki Cik Suri. Mungkin selipar si pengambil juga hilang. Husnuzon, sudah bukan rezeki Cik Suri.
Cik Suri memang bawa tiga pasang iaitu dua pasang selipar dan satu pasang kasut. Selipar cantik sudah hilang, tetapi alhamdulillah masih ada selipar jepun kedai eco dua ringgit empat puluh sen. Selipar biru itulah yang menjadi kawan karib Cik Suri untuk ke masjid sepanjang berada di Madinah. Bersyukur sebab tergerak hati untuk membeli selipar murah di Malaysia.
Suasana Madinah Sejuk Macam Di Dalam Air-Cond
First time berada di Masjid Nabawi, tidak ku sangka rupanya suasana di sini sangat sejuk. Matahari masih malu-malu untuk sebarkan sinarnya. Berjalanlah Cik Suri menggunakan selipar masjid sambil melihat gelagat manusia. Kami berhenti di hadapan pintu 309, berdekatan dengan tempat mengambil air zam-zam.
Dari kejauhan kelihatan jemaah pelbagai bangsa bergerak menuju ke pintu Raudhah. Kami bersidailah pada kon hijau sambil menikmati pemandangan itu. Tiba-tiba angin bayu menyapa muka. Sejuk seperti hembusan air-cord. Masa itu, kami tengah berbual sambil melihat kubah hijau yaitu Kubah Nabi Muhammad. Masing-masing serentak menyebut,
"Wahhh, sejuknya. Macam air-cond."
Kami meneruskan perjalanan di perkarangan masjid. Masa ini, barulah terserempak dengan mutawif. Apa lagi mengadulah perihal selipar yang hilang. Mutawiffah terus cakap,
"Saya lupa hendak pesan, selipar jangan letak di rak. Masukkan sahaja ke dalam beg dan bawa sekali ke tempat solat."
Hendak buat macam mana, benda sudah jadi. Kami teruskan ziarah luar masjid bersama mutawif dan mutawiffah. Selesai sahaja ziarah, kami bertiga mengambil keputusan untuk terus balik ke hotel dan berehat. Iyalah, belum sempat tidur lagi sejak turun dari kapal terbang.
Sepanjang berada di Madinah, Cik Suri dapat simpulkan bahawa cuaca pagi dan malam memang sejuk. Tersangat sejuk. Teruskan membaca, ada pengalaman Cik Suri menggigil kesejukan.
Tengahari di Madinah Panas Ke?
Kami kembali ke masjid sebelum masuknya waktu zuhur. Waktu zuhur di Madinah antara jam 12 tengahari. Keluar sahaja dari hotel, barulah kami merasa bahang panasnya.
Seringkali kita mendengar daripada jemaah yang pernah datang ke Madinah dan Mekah. Kata mereka cuaca sangat panas. Tidak dapat Cik Suri bayangkan. Sebenarnya sebelum datang ke sini, risau juga dengan cuaca panas terik. Maklumlah panasnya luar biasa, kata orang.
Alhamdulillah, hari pertama, expection luar biasa. Panasnya seperti berada pada musim panas di Malaysia juga. Tidaklah terlampau panas sehingga memeningkan kepala.
Alhamdulillah, Cik Suri boleh bertahan lagi dengan cuaca sebegini. Maklumlah sempat praktis berpanas mengecat pagar rumah pada awal Ramadhan hari itu. Perlahan-lahan kami bertiga berjalan, sambil menghayati dan menghafal jalan.
Bulan December sehingga bulan Mac adalah musim sejuk di negara Arab Saudi ini. Tempoh umrah Cik Suri adalah di pertengahan bulan April yang mana tempoh peralihan iklim dari musim sejuk ke musim panas. Jadi, tidak hairanlah jika ada hari terlalu sejuk dan ada hari terlalu panas.
Berbuka Puasa Bersama Jemaah Seluruh Dunia
Perancangan kami ingin stay di masjid sehinggalah waktu berbuka. Teringin juga merasa berbuka puasa bersama makcik-makcik Arab. Bagaimana suasananya dan hidangannya. Maka, duduklah kami beriktikaf dari waktu zuhur ke asar, dari asar menunggu ke maghrib.
Sakit juga punggung dan pinggang sebab terlalu lama duduk. Bila hendak berbaring, tempatnya sudah menjadi sempit. Kita pun kena secure juga tempat supaya ada sedikit ruang yang selesa bila hendak menunai solat nanti.
Selepas zuhur, jangan tinggalkan tempat duduk kerana masa inilah jemaah mula ramai dan tempat sedikit demi sedikit menjadi sempit. Cik Suri sendiri mula merasai kejutan budaya. Bermacam jenis perangai dan ragam dari pelbagai bangsa dan negara yang kita boleh lihat. Terpaling geram bila orang melangkah bag kita dan yang memijak sejadah. Ingatkan bila dialihnya bag atau dilipat sejadah tidak akan dipijak lagi. Rupanya tidak! Semakin mereka menjadi-jadi mereka cat-walk ulang-alik.
Suasana berbuka puasa di Masjid Nabawi sangat berbeza jika dibandingkan dengan tempat kita, Malaysia tercinta. Selesai sahaja solat Asar, akan muncul satu kumpulan wanita-wanita Arab membawa dan menyusun kotak-kotak makanan. Biasanya saf paling depan dan saf kedua adalah milik mereka.
Mereka menanda bahawa saf ini untuk kaum kerabat mereka. Cik Suri sendiri pernah diminta berundur atau beralih ke tempat lain. Sebenarnya di dalam hati ada juga rasa hendak marah, tetapi tetap bagitahu diri kena sabar. Ujian di tempat orang dan kena pula bulan ramadhan.
Eh...mengumpat pulak.
Berbalik pada berbuka puasa, di sini hidang berbuka adalah sedekah daripada keluarga-keluarga tersohor Arab. Jadi, tidak perlulah hendak marah kalau kena halau pindah ke saf belakang. Kumpulan wanita Arab ini yang akan uruskan juadah berbuka puasa. Daripada proses hamparkan plastik sehinggalah proses mengutip sampah kembali.
Selesai sahaja solat Asar, mereka akan bawa masuk kotak-kotak makanan dan minuman seperti roti, kurma dan air minuman. Mereka akan berkumpul dan susun makanan di dalam plastik khas. Selepas selesai bungkus makanan, mereka akan mula menghampar plastik putih lutsinar di atas karpet atau sejadah. Tujuannya supaya air atau makanan tidak tumpah direct ke atas karpet masjid. Besar sebenarnya jasa mereka ini.
Dan, pada masa ini jugalah, kita akan mula mendengar laungan daripada pengawal masjid,
"Hajah, hajah. Haram, haram."
Rupanya, ada jemaah menggunakan air zam-zam di dalam tong air untuk berwuduk.
Bila sudah tiba waktu Maghrib, itulah waktu paling riuh. Waktu berbuka. Walaupun kiri dan kanan tidak ada orang yang bercakap, tapi masih rasa suasana riuhnya. Tidak sunyi.
Sepanjang berbuka di sini, dua hari Cik Suri berada di saf hadapan barisan kedua dan barisan ketiga. Cik Suri selalu terputus dengan Kak H dan Kak Z. Berbukalah puasa seorang diri bersama jemaah dari negara lain.
Hari pertama bersama Zeinab dari Germany. Wanita keturunan Germany-Pakistan yang merupakan specialist dalam bidang IT. Sementara mengisi masa menunggu bilal laungkan azan maghrib, sempatlah kami berborak.Berkenalan. Satu perangai yang tidak syok, apabila dia offer kurma kita akan mengambilnya tetapi apabila kita yang offer kurma kita pula, dia menolak. Rejection!!!
Puas pujuk supaya dia mengambil satu tapi tetap dia menolak. Cik Suri bukan sejenis suka paksa. Jika, tiga kali di offer, and the answer is No. Then, I'M OKAY!!! Khalas.
Hari kedua bersebelahan dengan, Aisyah, wanita dari UK. Very nice person, seorang guru pendidikan khas. Seorang yang tegas tapi baik. Bersambung...