Mesti ramai di kalangan kita semua masih belum tahu bahawa dengan cara menulis blog, kita sebenarnya dapat menghasilkan pendapatan sampingan. Jika kena dengan caranya, blog bukan sekadar tempat meluahkan idea atau hobi, malah ia boleh bertukar menjadi mesin cetak duit!


Terdapat beberapa cara yang efektif untuk kita hasilkan wang melalui blog:


1- Menawarkan Pengiklanan di Tapak Blog Kita

Ini adalah cara yang paling klasik dan mudah. Anda hanya perlu menyertai rangkaian pengiklanan seperti Google AdSense. Apabila deraf blog anda diluluskan, iklan akan dipaparkan secara langsung di ruang-ruang kosong blog anda. 

Anda juga akan dibayar berdasarkan jumlah tontonan (impressions) atau klik pada iklan yang dibuat oleh pengunjung blog anda. Selain itu, jika blog anda sudah mempunyai trafik yang tinggi, anda juga boleh menawarkan slot iklan terus (direct advertising) kepada syarikat atau peniaga tempatan.


2- Menyertai Program Affiliate (Pemasaran Gabungan)

Pemasaran affiliate bermaksud anda mempromosikan produk atau perkhidmatan orang lain di dalam entri blog anda menggunakan pautan khas (affiliate link). Antara program affiliate yang popular di Malaysia ialah Shopee Affiliate, Lazada Affiliate, atau Involve Asia. Apabila ada pembaca yang klik pautan tersebut dan membuat pembelian, anda akan menerima komisen bagi setiap jualan.


3- Hasilkan Kandungan Berkualiti 

Kandungan yang berkualiti, bermanfaat dan disusun secara rapi adalah kunci utama untuk membina minat pembaca yang berterusan. Pastikan setiap penulisan anda memberi jawapan dan nilai tambah kepada persoalan pembaca.

Apabila blog anda mula dikenali dan mempunyai niche yang khusus (seperti dekorasi rumah, gajet, masakan, atau pelancongan), jenama atau syarikat luar akan mula mendekati anda. Mereka sanggup membayar anda untuk menulis ulasan (review) tentang produk atau perkhidmatan mereka di blog anda.


4- Tawarkan Produk atau Perkhidmatan Sendiri

Gunakan blog sebagai platform untuk membina kredibiliti anda. Jika anda mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu, anda boleh menjual e-book, menyediakan servis rundingan, atau menjual produk fizikal. Pembaca blog yang mempercayai penulisan anda akan lebih mudah tertarik untuk membeli daripada anda.

5- Tentukan Niche Yang Spesifik

Fokus pada satu topik khas atau yang anda minat serta mempunyai permintaan tinggi seperti teknologi, pelancongan, kewangan diri, atau keibubapaan (parenting). Apabila blog anda mempunyai subjek yang jelas, lebih mudah untuk anda membina audiens yang setia dan menarik minat pengiklan yang mahu sasarkan segmen pembaca tersebut.


Kesimpulan

Menjana pendapatan melalui blog memerlukan kesabaran dan konsistensi. Perkara paling penting ialah anda perlu sentiasa menghasilkan kandungan yang berkualiti dan bermanfaat agar dapat menarik lebih ramai pengunjung.

Semoga tips ini membantu anda bermula. Selamat menulis dan moga berjaya!


Assalamualaikum semua pembaca setia Jejak Rasaku! Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat dan ceria selalu.


Bagi anda yang selalu mengikuti blog Cik Suri, anda mesti tahu yang saya mempunyai impian untuk memiliki sebuah kedai buku dan kafe sendiri. Suatu hari nanti!


Walaupun sekarang saya menetap di Kemaman, kalau ada peluang ke Kuala Lumpur atau negeri lain -- destinasi pertama yang akan saya cari mesti kedai buku atau perpustakaan yang unik.


Rupa-rupanya, di Malaysia sendiri sudah ada banyak perpustakaan atau kedai buku yang dibina dengan seni bina yang tersendiri, sangat memukau dan "Instagrammable". Kita tidak perlu pergi sampai ke oversea semata-mata untuk tengok seni bina perpustakaan dan bookstore yang gah itu!


Mari saya kongsikan 5 port kedai buku dan perpustakaan paling cantik di Malaysia yang wajib masuk dalam bucket list anda!

3 Kedai Buku (Bookstore) Paling Estetik & "Instagrammable"

Bukan sekadar tempat menjual buku, kedai-kedai ini dibina dengan rekaan kreatif yang membuatkan kita rasa seperti berada di dalam dunia magis.


1- BookXcess RexKL (Kuala Lumpur)

Kalau anda sukakan konsep "hidden gem" dan industri lama, REXKL adalah tempatnya. Bekas panggung wayang lama ini telah diubah suai menjadi sebuah lubuk buku yang sangat unik. Buku-buku disusun tinggi di atas rak kayu yang berbentuk seperti sebuah labirin (maze). Tangga-tangga konkrit yang dibiarkan dengan style raw and industrial menjadikannya port OOTD yang sangat popular di tengah kota Kuala Lumpur. 


2- Tsutaya Books, Pavilion Bukit Jalil (Kuala Lumpur)

Ia merupakan cawang pertama kedai buku terkemuka dari Jepun yang dibuka di Asia Tenggara. Melangkah masuk ke Tsutaya Books, anda akan disambut dengan siling cermin yang tinggi, pencahayaan yang hangat dan susunan rak buku kayu yang sangat kemas. Di sini juga disediakan ruang kafe tau! Jadi, anda boleh menikmati matcha atau coffee latte sambil membaca buku kegemaran. Vibe seperti berada di negara Jepun sangat terasa!


3- BookXcess Sunway Big Box (Johor)

Bagi peminat Harry Potter, anda pasti akan terkesima melihat kedai buku ini. Merupakan kedai buku terbesar di selatan tanah air, tarikan utamanya ialah rak buku gergasi setinggi dua tingkat yang dipanggil "Box of Knowledge". Rekaan neon yang moden dipadankan dengan ribuan koleksi buku mampu membuatkan ulat buku rambang mata dan selesa duduk di sini berjam-jam.

Kredit imej daripada SAYS


2 Perpustakaan Unik & Moden di Malaysia

Selain kedai buku, perpustakaan awam juga sudah mula berubah wajah dengan rekaan yang sangat moden dan menarik.

1- Raja Tun Uda Library (Shah Alam, Selangor)

Perpustakaan ini terletak di tepi tasik yang sangat menenangkan. Menariknya, bangunan perpustakaan ini menggunakan dinding kaca yang luas, membolehkan cahaya matahari menembusi secara semula jadi dihiasi pula dengan pemandangan hijau dari luar. 

Selain reka bentuk dalamannya yang moden seperti dekorasi hotel bertaraf 5 bintang. Ia juga dilengkapi dengan kemudahan teater 3D/4D dan zon kanak-kanak yang sangat interaktif.

Kredit imej daripada Facebook Official Perpustakaan Raja Tun Uda


2- Perpustakaan Kuala Lumpur (Dataran Merdeka)

Perpustakaan ini terletak bersebelahan dengan Dataran Merdeka, gabungan seni bina warisan sejarah di luar tetapi reka bentuk dalaman yang sangat futuristik! Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam, anda akan melihat hiasan berkonsepkan kontemporari dengan kerusi-kerusi membaca yang unik serta pencahayaan yang sangat estetik. Sambil membaca, bolehlah menikmati pemandangan bangunan warisan di sekitar Kuala Lumpur.

Kredit imej daripada wikipedia


Kesimpulan

Antara lima tempat yang saya senaraikan di atas, mana satu yang paling menarik perhatian anda? Atau anda ada cadangan port kedai buku tersembunyi yang lagi best? Jangan segan-segan untuk kongsikan dan tinggalkan cadangan anda di ruang komen di bawah tau!  

Bergambar ketika matahari terbit di Pantai Teluk Mak Nik

Kemaman bukan sahaja terkenal sebagai wilayah kopi yang kaw dan juga hidangan satar yang asli, malah daerah ini juga menyimpan pelbagi lokasi menarik yang sangat Insta-worthy. Bagi anda yang suka bergambar dan ingin mencari latar belakang yang estetik untuk Outfit of the Day (OOTD), berikut adalah 5 tempat terbaik yang wajib anda kunjungi di Kemaman:  

1- Pantai Kemasik

Pantai Kemasik boleh dikatakan antara pantai paling ikonik di Terengganu. Keunikan utama pantai ini adalah struktur batuan besar yang terletak di pesisir pantai serta pembentukan lagun semulajadi apabila air pasang.

Pantai Kemasik di Kemaman

  • Tips OOTD: Rakam gambar berlatarbelakangkan batuan besar pada waktu golden hour iaitu ketika matahari terbit atau terbenam untuk dapatkan pencahayaan yang dramatik dan estetik.

2- Pantai Penunjuk, Kijal

Sekiranya anda mahukan suasana pantai yang lebih tenang dan pemandangan batuan tepi pantai yang unik, Pantai Penunjuk yang terletak di Kijal adalah jawapannya. Di sini terdapatnya jeti nelayan dan kawasan berbatu yang sering menjdai tumpuan jurugambar profesional.

Pemandangan di Pantai Penunjuk, Kijal
  • Tips OOTD: Berdiri di celah-celah batuan besar dengan memakai busana berwarna cerah atau pastel supaya penampilan anda lebih menonjol berbanding warna semula jadi batuan dan laut.

3- Pantai Teluk Mak Nik (Monica Bay)

Pantai Teluk Mak Nik sangat terkenal di kalangan penduduk tempatan untuk aktiviti santai bersama keluarga. Bagi anda yang suka berpiknik, Pantai Teluk Mak Nik sangat sesuai untuk anda dan keluarga. Susunan pohon-pohon rhu yang berbaris di sepanjang pesisir pantai membuatkan seperti suasana seolah-olah anda berada di luar negara.

  • Tips OOTD: Ambil foto berkonsepkan cinematik atau vintage di celah-celah pohon rhu dengan pencahayaan matahari yang menembusi dedaun.

4- Jeti Kuala Kemaman & Perkampungan Nelayan

Jika anda mahukan konsep OOTD yang bertemakan street style atau heritage, anda boleh singgah di Kuala Kemaman. Anda akan disajikan dengan pelbagai jenis bot nelayan tradisional berwarna-warni yang berlabuh di jeti serta seni bina rumah kampung lama yang memberi latar belakang yang penuh dengan karakter budaya tempatan.

  • Tips OOTD: Gayakan dengan pakaian kasual atau tradisional seperti kain batik  atau kemeja linen sambil berlatar belakangkan bot nelayan atau kedai klasik di sekitar perkampungan.

5-  Lorong Seni Kemaman (Kemaman Street Art)

Lorong seni Kemaman juga dikenali sebagai Lorong Seni Chukai, yang terletak di Jalan Sulaimani. Lorong di belakang deretan kedai di hadapan Stesen Bas Chukai. Lorong ini dihiasi dengan pelbagai seni lukisan mural berwarna-warni yang memaparkan budaya tempatan dan warisan Terengganu. 

Bergambar di sekitar Chukai Street Art

  • Tips OOTD: Ambil gambar dari sudut bawah (low angle) untuk menampakkan anda lebih tinggi dan memuatkan keseluruhan mural yang tinggi ke dalam bingkai. Jangan sekadar berdiri kaku tetapi cuba berinteraksi dengan lukisan seperti berpura-pura menyentuhnya, berjalan melintasi dinding atau bersandar pada dinding mural.

Anda sudah bersedia untuk penuhi feed Instagram atau Tiktok anda? Jangan lupa untuk pastikan bateri telefon anda fully charged. Atau, lantik kawan anda yang pandai mengambi gambar untuk memotret gaya anda. Selamat bergambar di Kemaman!





Resepi ketupat sotong  versi Terengganu yang lembut dan sedap

Bermula bulan Mei sehingga Ogos, Terengganu menjadi meriah dengan penduduk tempatan mahupun pengunjung luar dari Terengganu untuk aktiviti mencandat sotong. Pada musim begini, hasil sotong akan banyak akan dijadikan pelbagai jenis masakan. Antaranya, ketupat sotong.

Ketupat sotong merupakan antara hidangan tradisional Pantai Timur, khususnya di Terengganu dan Kelantan yang mempunyai citarasanya yang tersendiri. Gabungan rasa lemak, manis bersantan dan tekstur sotong yang lembut berintikan pulut membuatkan sesiapa sahaja kecur liur.

Namun, hidangan ketupat sotong di kedua buah negeri ini ada perbezaannya. Di Kelantan, ketupat sotong berkuah manis  berbeza di Terengganu yang rasanya lebih lemak, berkuah putih dan rasa herba halba yang wangi.

Bagi anda yang ingin mencuba buat sendiri di rumah, acapkali timbul masalah seperti pulut mentah di dalam atau kepala sotong terkeluar semasa rebus serta sotong pecah semasa proses memasak. Jangan risau, saya akan kongsikan resepi ketupat asli Terengganu berserta tips penting daripada ibu saya supaya ketupat sotong buat menjadi dengan sekali cuba sahaja.  

Bahan-bahan Ketupat Sotong Terengganu

Bahan-bahan yang diperlukan adalah sangat mudah di dapati di pasar mahupun pasar raya berdekatan.

Bahan Utama: 

  • Sotong segar - 1 kg (disarankan untuk memilih saiz sederhana atau besar)
  • Beras pulut - 500g (dicuci bersih)
  • Santan pekat - 1 kotak 200ml
  • Air - 1 cawan untuk dicampur dengan sedikit santan (menjadi santan cair)
  • Halia - 2 inci dihiris nipis
  • Bawang merah - 4 biji dimayang halus
  • Halba - 1 sudu kecil
  • Garam - secukup rasa
  • Gula - secukup rasa

  • Lidi sate 

Cara-cara untuk Membuat Ketupat Sotong

Cara-cara membuat ketupat sotong asli Terengganu

Langkah 1: Penyediaan Pulut dan Sotong

  • Rendam Pulut - Selepas beras pulut di cuci dengan bersih, rendam beras pulut bersama sedikit santan pekat dan secubit garam kira-kira selama 15 sehingga 30 minit. Langkah ini penting supaya pulut lembut dan cepat masak di dalam sotong.
  • Bersihkan Sotong - Buang tulang sotong, dakwat, mata dan gigi serta kulit luar sotong. Asingkan kepala sotong dan cuci sehingga bersih.

Langkah 2: Proses Mengisi Pulut

  • Ambil seekor sotong dan masukkan beras pulut yang telah direndam tadi ke dalam sotong.
  • Ketika mengisi pulut, pastikan hanya setakat separuh atau 2/3 bahagian sotong sahaja yang diisi. Elakkan daripada isi terlalu penuh kerana pulut akan mengembang apabila dimasak dan boleh menyebabkan sotong pecah.
  • Masukkan kembali kepala sotong dan cucuk dengan lidi tajam secara bersilang supya kepala sotong tidak tertanggal dan isi pulut tidak terkeluar daripada sotong.
  • Ulang langkah ini untuk sotong-sotong yang lain sehingga habis.

Langkah 3: Memasak Ketupat Sotong

  • Di dalam periuk, susun sotong yang telah siap diisi pulut dan masukkan santan cair, halia, bawang merah serta halba.
  • Kemudian, buka api perlahan dan biarkan ia mereneh selama 10-15 minit.
  • Masukkan santan pekat dan biarkan ia mendidih.
  • Kacau sekali-sekala dengan berhati-hati supaya sotong tidak pecah.
  • Apabila kuah mula memekat dan sotong menjadi kembung (tanda pulut di dalamnya sudah masak), perasakan dengan garam dan gula mengikut selera anda.
  • Tutup api apabila kuah santan sudah pekat (paras separuh tenggelam sotong)
  • Siap untuk dihidang!

Tips untuk Mendapat Ketupat Sotong yang Sempurna

  • Pilih sotong yang segar - Sotong yang segar mempunyai tekstur isi yang pejal dan tidak mudah pecah ketika direbus.
  • Kenapa pulut mentah? - Jika pulut di dalam sotong masih mentah, ini berkemungkinan anda mengisi beras pulut terlalu banyak (padat) atau tidak merendam beras pulut terlebih dahulu sebelum disumbat ke dalam sotong.
  • Variasi Kelantan - Resepi ketupat sotong versi Kelantan biasanya berkuah merah yang mana ia menggunakan gula nisan  atau gula melaka di dalamnya.

Kesimpulan

Membuat ketupat sotong versi Terengganu tidaklah sukar seperti yang disangka jika anda mengikut sukatan pulut yang betul ketika mengisi ke dalam sotong. 

Hidangan ketupat sotong ini sangat sesuai dijadikan sebagai menu minum petang atau pencuci mulut pada hari keramaian.  

Semoga anda dapat mencuba resepi ketupat sotong versi Terengganu ini dengan jayanya!

Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini dengan rakan-rakan anda yang sukakan makanan tradisi Pantai Timur ini. Selamat Mencuba!



Flora dan fauna yang dijumpai sepanjang pendakian di Bukit Dhera

Kemaman bukan sahaja terkenal dengan jujukan pantai yang cantik dan makanan laut yang segar, malah daerah ketiga paling besar di negeri Terengganu ini turut menjadi hidden gem bagi peminat aktiviti  mendaki. Dari laluan santai yang sesuai untuk seisi keluarga sehinggalah trek pendakian yang mencabar. Kemaman menawarkan pelbagai pilihan mengikut kesesuaian anda sebagai pencinta alam.

Uniknya, bukit-bukit yang ada di Kemaman kebanyakannya mempunyai laluan yang tidak terlalu sukar dan mesra untuk pendaki baharu, individu yang ingin mengamalkan gaya hidup yang sihat dan aktiviti riadah keluarga.

Selain itu, terdapat juga trek pendakian yang menawarkan pemandangan Laut China Selatan yang luas  terbentang berserta dengan kapal-kapal laut yang menuju ke pelabuhan. Tidak ketinggalan juga dengan spesis flora dan fauna yang pelbagai di dalam hutan.


Mengapa Kemaman Menjadi Destinasi Pilihan Mendaki

Apabila bercakap tentang Kemaman, ramai akan membayangkan satar, keropok lekor dan Pantai Teluk Mak Nik. Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Kemaman mula dikenali sebagai salah satu destinasi hiking terbaik di Pantai Timur kerana lokasinya yang unik - menggabungkan keindahan hutan tropika dengan panorama laut yang memukau. 

Senarai 7 Pilihan Bukit yang Wajib Anda Cuba

1- Bukit Mak Dayang - Paling Popular di Bandar Chukai

Bukit Mak Dayang merupakan pilihan lokasi mendaki yang paling terkenal di Kemaman kerana ia terletak di tengah-tengah Bandar Chukai yang merupakan bandar utama daerah Kemaman. 

Treknya adalah gabungan antara laluan anak tangga dan laluan hutan yang sesuai untuk pendaki baharu serta mereka yang ingin bersenam pada hujung minggu. Dari puncak bukit, anda dapat menikmati pemandangan bandar Chukai dan kawasan sekitarnya.

Disaran juga kepada anda untuk mendaki pada waktu petang untuk melihat panorama matahari terbenam yang cantik.

  • Tahap kesukaran: Mudah - Sederhana
  • Tempoh Pendakian: 45 -60 minit

2- Bukit Pepijat - Trek Paling Pendek dan Mudah

Bukit Pepijat menjadi pilihan utama penduduk sekitar untuk warm-up kerana laluannya yang pendek. Namun, apabila anda berada di puncak bukit, anda akan disajikan dengan pemandangan laut yang memukau mata. Laluan bertangga menjadikannya sangat mesra kepada pendaki amatur dan kanak-kanak. 

Bagi anda yang suka aktivit fotografi, jangan lepaskan peluang untuk mengambil pemandangan matahari terbit yang berharga di sini. 

Di sini juga terletaknya Telaga Simpul Pantai Marina yang menjadi ikonik sejarah persinggahan pedagang di Kemaman daripada catatan Abdullah Munsyi, 1852.

  • Tahap kesukaran: Mudah 
  • Tempoh Pendakian: 30 - 45 minit

3- Bukit Mentok Hiking Park - Sesuai untuk Semua

Terletak berdekatan dengan Bukit Mak Dayang. Bukit Mentok menawarkan laluan mendaki yang kemas dan terjaga. Ia sangat sesuai untuk aktiviti riadah harian bersama keluarga. Suasana hutan yang nyaman dan terdapat beberapa port menarik yang disediakan oleh komuniti setempat untuk berswafoto.

Tahap kesukaran: Mudah - Sederhana

Tempoh Pendakian: 30 - 45 minit

4- Bukit Dhera Pantai Teluk Maknik - Trek Baru dan Bakal Jadi Popular

Bukit Dhera merupakan bukit yang baru diterokai oleh komuniti pendaki lokal. Ianya mula menjadi sebutan kerana suasananya yang tenang dan kedudukannya yang hampir dengan pantai, membolehkan pendaki menikmati angin laut dan pemandangan Pantai Teluk Mak Nik dari aras tinggi.

  • Tahap kesukaran: Sederhana 
  • Tempoh pendakian: 45 minit - 1 jam

5- Bukit Harimau Menangis - Mencabar Adrenalin

Jangan biarkan namanya menakutkan anda! Bukit Harimau Menangis menawarkan trek mendaki yang lebih mencabar dengan kecuraman yang boleh menguji ketahanan fizikal anda. Namun, penat lelah anda akan dibayar dengan pemandangan hijau hutan sekeliling dan udara segar di puncak.

  • Tahap kesukaran: Sederhana - Mencabar
  • Tempoh Pendakian: 1 -1.5 jam

6- Bukit Kuari - Panorama Industri & Alam

Satu lagi spot menarik yang memberi kelainan. Dari puncak Bukit Kuari, anda boleh melihat kombinasi unik pemandangan alam serta kawasan perindustrian dan pelabuhan Kemaman dari kejauhan, Treknya sedikit terbuka, jadi pastikan anda membawa air yang mencukupi.

  • Tahap kesukaran: Sederhana 
  • Tempoh Pendakian: 45 -60 minit 

7- Bukit Bauk (laluan Sempadan Kemaman - Dungun) - Khazanah Rimba

Walaupun sebahagian besarnya terletak di dalan daerah Dungun, lokasinya yang terletak di sepanjang laluan utama ke Kemaman menjadikannya spot wajib singgah bagi pendaki tegar. Hutan Lipur Bukit Bauk menawarkan trek mendaki yang mencabar merentasi hutan dipterokarp yang kaya dengan flora dan fauna.

  • Tahap kesukaran: Sederhana - Mencabar
  • Tempoh Pendakian: 1.5 - 2 jam

Waktu Terbaik untuk Mendaki di Kemaman

Keadaan cuaca memainkan peranan penting dalam memastikan pendakian anda lebih selamat, selesa dan pastinya memberi pengalaman yang menyeronokan.

  • Awal pagi (6.30 - 9.00 pagi): Ini adalah cadangan waktu yang paling sesuai bagi anda yang suka mendaki pada waktu pagi kerana suhu masih sejuk dan nyaman, cahaya matahari tidak terlalu terik, dan peluang untuk melihat matahari terbit (sunrise) yang cantik di ufuk Laut China Selatan.
  • Lewat petang (4:30 - 7:00 petang): Waktu yang santai untuk mengeluarkan peluh sambil menikmati panorama matahari terbenam (sunset)

Tips Keselamatan Ketika Mendaki

Asas paling penting ketika aktiviti mendaki adalah dengan menjaga keselamatan diri. Beberapa perkara yang perlu di titik berat sebelum dan semasa mendaki:

  • Maklumkan kepada keluarga: Sentiasa beritahu orang terdekat atau kongsi lokasi pendakian kepada mereka.
  • Kekal di trek: Ikut laluan yang sedia ada dan elakkan daripada mengambil jalan pintas untuk mengelakkan risiko tersesat.
  • Dengar isyarat badan: Berehat seketika sekiranya berasa terlalu letih atau berasa pening

  • Jaga Kebersihan: Ini paling penting! Bawa turun sampah anda dan jangan lakukan vandalisme pada pokok atau kemudahan awam yang disediakan.

Aktiviti Menarik Selepas Mendaki

  • Bersantai menikmati angin di Pantai Teluk Mak Nik.
  • Menikmati makanan laut yang segar dari restoran tempatan.
  • Mencuba snek minuman petang kegemaran ramai seperti satar, otak-otak, kerepok lekor panas dan ikan celup tepung.
  • Coffee hunting di kafe-kafe hipster dan kopitiam tradisional di sekitar bandar Chukai.

Kesimpulan

Kemaman mempunyai pelbagai pilihan lokasi mendaki yang menarik dengan pemandangan alam semulajadi yang memukau. Sama ada anda seorang pendaki berpengalaman atau baru ingin mencuba aktiviti ini, pilihlah trek yang sesuai dengan tahap kemampuan diri anda. 

Saranan kepada anda baru ingin berjinak-jinak dengan aktiviti mendaki, mulakan langkah pertama anda dengan mendaki Bukit Mak Dayang atau Bukit Pepijat.

Amalkan gaya hidup sihat, jaga keselamatan, dan yang paling utama peliharalah kebersihan alam sekitar kita!


Pemandangan panorama Kota Mekah dari Puncak Jabal Nur

Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Hari ini telah memasuki hari ke-24 kita semua menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan. Teringat kembali pengalaman saya mengerjakan ibadah umrah pada bulan mulia ini. Tarikh 24 Ramadhan adalah tarikh penerbangan saya ke Jeddah pada dua tahun yang lalu. Saya akan kongsikan pengalaman saya menunaikan umrah pada bulan Ramadhan kepada anda.

Bagi anda yang bakal menunaikan umrah atau dalam perancangan untuk pergi umrah, kali saya ingin kongsikan sedikit panduan dan pengalaman peribadi sepanjang mendaki Jabal Nur - bukit yang penuh dengan sejarah dan pastinya mengusik emosi setiap pengunjung.


Popular Post