Panduan & Pengalaman Mendaki Jabal Nur (Gua Hira' di Mekah)
![]() |
Assalamualaikum.
Alhamdulillah. Hari ini telah memasuki hari ke-24 kita semua menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan. Teringat kembali pengalaman saya mengerjakan ibadah umrah pada bulan mulia ini. Tarikh 24 Ramadhan adalah tarikh penerbangan saya ke Jeddah pada dua tahun yang lalu. Saya akan kongsikan pengalaman saya menunaikan umrah pada bulan Ramadhan kepada anda.
Bagi anda yang bakal menunaikan umrah atau dalam perancangan untuk pergi umrah, kali saya ingin kongsikan sedikit panduan dan pengalaman peribadi sepanjang mendaki Jabal Nur - bukit yang penuh dengan sejarah dan pastinya mengusik emosi setiap pengunjung.
Isi Kandungan:
Tentang Jabal Nur dan Gua Hira'
Persediaan Fizikal & Mental
Mendaki Jabal Nur memerlukan stamina yang kuat dan tenaga yang optimum. Walaupun laluannya sudah mempunyai tangga batu dan pagar besi untuk keselamatan, tetapi kecerunannya agak mencabar bagi mereka yang jarang bersenam.
- Masa Pendakian: Secara purata, pendakian mengambil masa antara 45 minit sehingga 1 jam setengah untuk sampai ke puncak, bergantung kepada tahap kecergasan dan kekerapan anda berhenti untuk berehat.
Waktu Sesuai Untuk Mendaki
- Awal pagi (02:00 - 05:00 pagi) - Ini adalah waktu yang paling ideal kerana suhu persekitaran masih sejuk dan redup. Anda boleh mengambil peluang untuk menunaikan solat subuh di puncak Jabal Nur atau di ruang Gua Hira'.Selepas subuh, anda boleh mula turun sebelum matahari mula meninggi tegak di kepala.
- Malam (bermula 07:00 petang) - Mendaki pada waktu malam juga satu pilihan yang bijak kerana cuacanya yang lebih nyaman. Bonus mendaki pada waktu malam ialah anda dapat menyaksikan keindahan panorama Kota Mekah yang dipenuhi cahaya lampu dari puncak bukit ini.
Tips Penting Semasa Mendaki
- Bawa air minuman - Pastikan anda membawa sekurang-kurangnya satu botol air mineral untuk menghilangan dahaga sepanjang pendakian yang memenatkan.
- Kasut yang sesuai - Pastikan anda memakai kasut yang sesuai ketika mendaki seperti kasut sukan, kasut slip-on atau kasut bertutup yang selesa dan mempunyai cengkaman yang paik ketika mendaki. Elakkan sama sekali daripada selipar atau kasut yang bertumit tinggi kerana ada sesetengah permukaan batu licin dan boleh menyebabkan anda terjatuh.
- Jaga kelajuan (pace) anda - Mendaki dengan tenang dan perlahan mengikut kemampuan diri. Jangan paksa diri untuk cepat sampai ke puncak sehingga mengabaikan isyarat penat daripada badan. Ambil masa seketika untuk berhenti berehat jika perlu.
- Sediakan wang kecil - Di sepanjang laluan, terdapat beberapa kiosk atau gerai kecil yang diusahakan oleh penduduk tempatan yang menjual air dan makanan ringan. Menyediakan wang kecil akan memudahkan anda ketika membeli air atau snek jika bekalan anda kehabisan.
Perasaan Apabila Tiba di Puncak Jabal Nur
- Keinsafan yang mendalam di lubuk hati - Mengenangkan kembali betapa besarnya pengorbanan Nabi Muhammad (s.a.w) yang terpaksa mendaki bukit yang curam ini berulang-alik demi menyampaikan kebenaran dakwah Islam, sehinggalah Islam sampai kepada kita hari ini.
- Kekaguman dan ketenangan - Berada di puncak yang tinggi dengan tiupan angin malam atau suasana pagi yang mendamaikan memberikan satu rasa ketenangan dalam jiwa yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.
- Kepuasan peribadi - Satu kejayaan peribadi kerana berjaya mengatasi cabaran fizikal demi menziarah tempat bermulanya sejarah agung umat Islam.
Apa Yang Ada di Puncak Jabal Nur
- Gua Hira' - Kedudukan Gua Hira' sedikit ke bawah dari puncak bukit (terletak di bahagian belakang bukit). Anda perlu menuruni beberapa anak tangga batu yang agak sempit untuk sampai ke situ. Saiz Gua Hira' sangat kecil dan hanya mampu memuatkan 3 - 5 orang sahaja untuk solat di dalamnya pada satu-satu masa. Uniknya, celahan batu semulajadi ini betul-betul mengadap tepat ke arah Kiblat (Kaabah).
- Pemandangan panorama Kota Makkah - Dari puncak anda akan dapat melihat kerdipan lampu bercahaya dari mercu tanda terkenal Kota Mekah seperti menara-menara Masjidil Haram dan Menara Jam Mekah (Clock Tower) yang megah berdiri dari kejauhan. Anda juga dihidangkan dengan lanskap banjaran bukit batu yang gersang dan luas.
- Kemudahan Sokongan - Kerajaan Arab Saudi telah menaik taraf kawasan Jabal Nur dengan menyediakan tangga konkrit dan pagar besi bagi menjaga keselamatan pengunjung. Terdapat beberapa kawasan rata untuk jemaah duduk berehat dan mengambil angin sebelum atau selepas melawat Gua Hira'.
- Kiosk jualan kecil - Terdapat beberapa kiosk kecil yang menjual air minuman dan snek. Jangan lupa untuk mencuba jus limau nipis yang sejuk dan menyegarkan selepas penat mendaki.
Kesimpulan
Bagi yang sedang merancang, semoga dipermudahkan urusan dan mendapat umrah yang mabrur!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan