Panduan Lengkap Hiking di Kemaman: 7 Best Spot Hiking Wajib Cuba Bagi Pencinta Alam
Kemaman bukan sahaja terkenal dengan jujukan pantai yang cantik dan makanan laut yang segar, malah daerah ketiga paling besar di negeri Terengganu ini turut menjadi hidden gem bagi peminat aktiviti mendaki. Dari laluan santai yang sesuai untuk seisi keluarga sehinggalah trek pendakian yang mencabar. Kemaman menawarkan pelbagai pilihan mengikut kesesuaian anda sebagai pencinta alam.
Uniknya, bukit-bukit yang ada di Kemaman kebanyakannya mempunyai laluan yang tidak terlalu sukar dan mesra untuk pendaki baharu, individu yang ingin mengamalkan gaya hidup yang sihat dan aktiviti riadah keluarga.
Selain itu, terdapat juga trek pendakian yang menawarkan pemandangan Laut China Selatan yang luas terbentang berserta dengan kapal-kapal laut yang menuju ke pelabuhan. Tidak ketinggalan juga dengan spesis flora dan fauna yang pelbagai di dalam hutan.
Isi Kandungan:
Mengapa Kemaman Menjadi Destinasi Pilihan Mendaki
Apabila bercakap tentang Kemaman, ramai akan membayangkan satar, keropok lekor dan Pantai Teluk Mak Nik. Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Kemaman mula dikenali sebagai salah satu destinasi hiking terbaik di Pantai Timur kerana lokasinya yang unik - menggabungkan keindahan hutan tropika dengan panorama laut yang memukau.
Senarai 7 Pilihan Bukit yang Wajib Anda Cuba
1- Bukit Mak Dayang - Paling Popular di Bandar Chukai
Bukit Mak Dayang merupakan pilihan lokasi mendaki yang paling terkenal di Kemaman kerana ia terletak di tengah-tengah Bandar Chukai yang merupakan bandar utama daerah Kemaman.
Treknya adalah gabungan antara laluan anak tangga dan laluan hutan yang sesuai untuk pendaki baharu serta mereka yang ingin bersenam pada hujung minggu. Dari puncak bukit, anda dapat menikmati pemandangan bandar Chukai dan kawasan sekitarnya.
Disaran juga kepada anda untuk mendaki pada waktu petang untuk melihat panorama matahari terbenam yang cantik.
- Tahap kesukaran: Mudah - Sederhana
- Tempoh Pendakian: 45 -60 minit
2- Bukit Pepijat - Trek Paling Pendek dan Mudah
Bukit Pepijat menjadi pilihan utama penduduk sekitar untuk warm-up kerana laluannya yang pendek. Namun, apabila anda berada di puncak bukit, anda akan disajikan dengan pemandangan laut yang memukau mata. Laluan bertangga menjadikannya sangat mesra kepada pendaki amatur dan kanak-kanak.
Bagi anda yang suka aktivit fotografi, jangan lepaskan peluang untuk mengambil pemandangan matahari terbit yang berharga di sini.
Di sini juga terletaknya Telaga Simpul Pantai Marina yang menjadi ikonik sejarah persinggahan pedagang di Kemaman daripada catatan Abdullah Munsyi, 1852.
- Tahap kesukaran: Mudah
- Tempoh Pendakian: 30 - 45 minit
3- Bukit Mentok Hiking Park - Sesuai untuk Semua
Terletak berdekatan dengan Bukit Mak Dayang. Bukit Mentok menawarkan laluan mendaki yang kemas dan terjaga. Ia sangat sesuai untuk aktiviti riadah harian bersama keluarga. Suasana hutan yang nyaman dan terdapat beberapa port menarik yang disediakan oleh komuniti setempat untuk berswafoto.
Tahap kesukaran: Mudah - Sederhana
Tempoh Pendakian: 30 - 45 minit
4- Bukit Dhera Pantai Teluk Maknik - Trek Baru dan Bakal Jadi Popular
Bukit Dhera merupakan bukit yang baru diterokai oleh komuniti pendaki lokal. Ianya mula menjadi sebutan kerana suasananya yang tenang dan kedudukannya yang hampir dengan pantai, membolehkan pendaki menikmati angin laut dan pemandangan Pantai Teluk Mak Nik dari aras tinggi.
- Tahap kesukaran: Sederhana
- Tempoh pendakian: 45 minit - 1 jam
5- Bukit Harimau Menangis - Mencabar Adrenalin
Jangan biarkan namanya menakutkan anda! Bukit Harimau Menangis menawarkan trek mendaki yang lebih mencabar dengan kecuraman yang boleh menguji ketahanan fizikal anda. Namun, penat lelah anda akan dibayar dengan pemandangan hijau hutan sekeliling dan udara segar di puncak.
- Tahap kesukaran: Sederhana - Mencabar
- Tempoh Pendakian: 1 -1.5 jam
6- Bukit Kuari - Panorama Industri & Alam
Satu lagi spot menarik yang memberi kelainan. Dari puncak Bukit Kuari, anda boleh melihat kombinasi unik pemandangan alam serta kawasan perindustrian dan pelabuhan Kemaman dari kejauhan, Treknya sedikit terbuka, jadi pastikan anda membawa air yang mencukupi.
- Tahap kesukaran: Sederhana
- Tempoh Pendakian: 45 -60 minit
7- Bukit Bauk (laluan Sempadan Kemaman - Dungun) - Khazanah Rimba
Walaupun sebahagian besarnya terletak di dalan daerah Dungun, lokasinya yang terletak di sepanjang laluan utama ke Kemaman menjadikannya spot wajib singgah bagi pendaki tegar. Hutan Lipur Bukit Bauk menawarkan trek mendaki yang mencabar merentasi hutan dipterokarp yang kaya dengan flora dan fauna.
- Tahap kesukaran: Sederhana - Mencabar
- Tempoh Pendakian: 1.5 - 2 jam
Waktu Terbaik untuk Mendaki di Kemaman
Keadaan cuaca memainkan peranan penting dalam memastikan pendakian anda lebih selamat, selesa dan pastinya memberi pengalaman yang menyeronokan.
- Awal pagi (6.30 - 9.00 pagi): Ini adalah cadangan waktu yang paling sesuai bagi anda yang suka mendaki pada waktu pagi kerana suhu masih sejuk dan nyaman, cahaya matahari tidak terlalu terik, dan peluang untuk melihat matahari terbit (sunrise) yang cantik di ufuk Laut China Selatan.
- Lewat petang (4:30 - 7:00 petang): Waktu yang santai untuk mengeluarkan peluh sambil menikmati panorama matahari terbenam (sunset)
Tips Keselamatan Ketika Mendaki
Asas paling penting ketika aktiviti mendaki adalah dengan menjaga keselamatan diri. Beberapa perkara yang perlu di titik berat sebelum dan semasa mendaki:
- Maklumkan kepada keluarga: Sentiasa beritahu orang terdekat atau kongsi lokasi pendakian kepada mereka.
- Kekal di trek: Ikut laluan yang sedia ada dan elakkan daripada mengambil jalan pintas untuk mengelakkan risiko tersesat.
- Dengar isyarat badan: Berehat seketika sekiranya berasa terlalu letih atau berasa pening
- Jaga Kebersihan: Ini paling penting! Bawa turun sampah anda dan jangan lakukan vandalisme pada pokok atau kemudahan awam yang disediakan.
Aktiviti Menarik Selepas Mendaki
- Bersantai menikmati angin di Pantai Teluk Mak Nik.
- Menikmati makanan laut yang segar dari restoran tempatan.
- Mencuba snek minuman petang kegemaran ramai seperti satar, otak-otak, kerepok lekor panas dan ikan celup tepung.
- Coffee hunting di kafe-kafe hipster dan kopitiam tradisional di sekitar bandar Chukai.
Kesimpulan
Kemaman mempunyai pelbagai pilihan lokasi mendaki yang menarik dengan pemandangan alam semulajadi yang memukau. Sama ada anda seorang pendaki berpengalaman atau baru ingin mencuba aktiviti ini, pilihlah trek yang sesuai dengan tahap kemampuan diri anda.
Saranan kepada anda baru ingin berjinak-jinak dengan aktiviti mendaki, mulakan langkah pertama anda dengan mendaki Bukit Mak Dayang atau Bukit Pepijat.
Amalkan gaya hidup sihat, jaga keselamatan, dan yang paling utama peliharalah kebersihan alam sekitar kita!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan