Resepi Ketupat Sotong Terengganu yang Padat, Lembut, Pekat & Sedap (Tips Sukatan Tepat)
Bermula bulan Mei sehingga Ogos, Terengganu menjadi meriah dengan penduduk tempatan mahupun pengunjung luar dari Terengganu untuk aktiviti mencandat sotong. Pada musim begini, hasil sotong akan banyak akan dijadikan pelbagai jenis masakan. Antaranya, ketupat sotong.
Ketupat sotong merupakan antara hidangan tradisional Pantai Timur, khususnya di Terengganu dan Kelantan yang mempunyai citarasanya yang tersendiri. Gabungan rasa lemak, manis bersantan dan tekstur sotong yang lembut berintikan pulut membuatkan sesiapa sahaja kecur liur.
Namun, hidangan ketupat sotong di kedua buah negeri ini ada perbezaannya. Di Kelantan, ketupat sotong berkuah manis berbeza di Terengganu yang rasanya lebih lemak, berkuah putih dan rasa herba halba yang wangi.
Bagi anda yang ingin mencuba buat sendiri di rumah, acapkali timbul masalah seperti pulut mentah di dalam atau kepala sotong terkeluar semasa rebus serta sotong pecah semasa proses memasak. Jangan risau, saya akan kongsikan resepi ketupat asli Terengganu berserta tips penting daripada ibu saya supaya ketupat sotong buat menjadi dengan sekali cuba sahaja.
Bahan-bahan Ketupat Sotong Terengganu
Bahan-bahan yang diperlukan adalah sangat mudah di dapati di pasar mahupun pasar raya berdekatan.
Bahan Utama:
- Sotong segar - 1 kg (disarankan untuk memilih saiz sederhana atau besar)
- Beras pulut - 500g (dicuci bersih)
- Santan pekat - 1 kotak 200ml
- Air - 1 cawan untuk dicampur dengan sedikit santan (menjadi santan cair)
- Halia - 2 inci dihiris nipis
- Bawang merah - 4 biji dimayang halus
- Halba - 1 sudu kecil
- Garam - secukup rasa
- Gula - secukup rasa
- Lidi sate
Cara-cara untuk Membuat Ketupat Sotong
Langkah 1: Penyediaan Pulut dan Sotong
- Rendam Pulut - Selepas beras pulut di cuci dengan bersih, rendam beras pulut bersama sedikit santan pekat dan secubit garam kira-kira selama 15 sehingga 30 minit. Langkah ini penting supaya pulut lembut dan cepat masak di dalam sotong.
- Bersihkan Sotong - Buang tulang sotong, dakwat, mata dan gigi serta kulit luar sotong. Asingkan kepala sotong dan cuci sehingga bersih.
Langkah 2: Proses Mengisi Pulut
- Ambil seekor sotong dan masukkan beras pulut yang telah direndam tadi ke dalam sotong.
- Ketika mengisi pulut, pastikan hanya setakat separuh atau 2/3 bahagian sotong sahaja yang diisi. Elakkan daripada isi terlalu penuh kerana pulut akan mengembang apabila dimasak dan boleh menyebabkan sotong pecah.
- Masukkan kembali kepala sotong dan cucuk dengan lidi tajam secara bersilang supya kepala sotong tidak tertanggal dan isi pulut tidak terkeluar daripada sotong.
- Ulang langkah ini untuk sotong-sotong yang lain sehingga habis.
Langkah 3: Memasak Ketupat Sotong
- Di dalam periuk, susun sotong yang telah siap diisi pulut dan masukkan santan cair, halia, bawang merah serta halba.
- Kemudian, buka api perlahan dan biarkan ia mereneh selama 10-15 minit.
- Masukkan santan pekat dan biarkan ia mendidih.
- Kacau sekali-sekala dengan berhati-hati supaya sotong tidak pecah.
- Apabila kuah mula memekat dan sotong menjadi kembung (tanda pulut di dalamnya sudah masak), perasakan dengan garam dan gula mengikut selera anda.
- Tutup api apabila kuah santan sudah pekat (paras separuh tenggelam sotong)
- Siap untuk dihidang!
Tips untuk Mendapat Ketupat Sotong yang Sempurna
- Pilih sotong yang segar - Sotong yang segar mempunyai tekstur isi yang pejal dan tidak mudah pecah ketika direbus.
- Kenapa pulut mentah? - Jika pulut di dalam sotong masih mentah, ini berkemungkinan anda mengisi beras pulut terlalu banyak (padat) atau tidak merendam beras pulut terlebih dahulu sebelum disumbat ke dalam sotong.
- Variasi Kelantan - Resepi ketupat sotong versi Kelantan biasanya berkuah merah yang mana ia menggunakan gula nisan atau gula melaka di dalamnya.
Kesimpulan
Hidangan ketupat sotong ini sangat sesuai dijadikan sebagai menu minum petang atau pencuci mulut pada hari keramaian.
Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini dengan rakan-rakan anda yang sukakan makanan tradisi Pantai Timur ini. Selamat Mencuba!


Tiada ulasan:
Catat Ulasan