Assalamualaikum.


SELEPAS HARI RAYA AIDILFITRI, umat Islam akan mula sibuk dengan persiapan untuk menyambut kedatangan bulan Zulhijjah pula. Bulan Zulhijjah adalah antara bulan terpenting menurut kalendar Islam. Bulan di mana umat Islam akan pergi mengerjakan ibadah haji di Mekah dan seluruh umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha. Ibadah Qurban juga akan dilakukan pada Hari Raya Aidiladha.


Di dalam bulan Zulhijjah ini, waktu yang paling ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam adalah Hari Arafah di mana para jemaah haji akan berwukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijjah. Berdoa dan bermunajat kepada Allah s.w.t dengan bersungguh-sungguh pada Hari Arafah adalah amalan yang paling terbaik. 


Sangat beruntunglah bagi mereka yang sedang mengerjakan ibadah Haji kerana apabila seorang Islam itu selesai menunaikan haji mereka, maka diampunkan segala dosa-dosanya. Sesungguhnya menyempurnakan haji dengan berwukuf di Padang Arafah merupakan rukun haji yang sangat agung.


Seperti sabda Rasulullah s.a.w.

الْحَجُّ عَرَفَةُ

Maksudnya, "Haji itu berada di Arafah." 

Daripada Riwayat Ibnu Majah (3015), al-Nasaie (3016), Ibnu Khuzaimah (2822) di dalam Sohihnya, Imam Ahmad (18774) di dalam Musnad.


Kelebihan Doa Hari Arafah

Hari Arafah merupakan hari pelepasan daripada api neraka dengan Allah s.w.t. melepaskan daripada azab api neraka bagi mereka yang berwukuf dan juga bagi umat Islam lain yang tidak berwukuf (yang tidak menunaikan haji). 


Oleh itu, hari selepas waktu wukuf dijadikan hari perayaan iaitu Hari Raya Aidiladha sebagai tanda kesyukuran kerana setiap umat Islam layak mendapat keampunan dosa dan terlepas daripada azab api neraka pada hari Arafah.


Berdoa di Hari Arafah mempunyai banyak kelebihannya. Seperti yang diriwayatkan di dalam beberapa hadis shohih. Antaranya;


Daripada Abdullah bin 'Amr, Rasulullah bersabda; 


"Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah dan sebaik-baik apa yang aku dan nabi-nabi sebelumku katakan adalah


لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang satu, dan tiada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian dan DIA Maha Berkuasa atas segala sesuatu.


Hadis riwayat At-Tarmizi - (Hadis Hasan)


Doa Terbaik di Hari Arafah

Antara doa terbaik untuk Hari Arafah yang disarankan oleh JAKIM;


1- Ya Allah, kurniakanlah padaku kejayaan terbesar - selamat daripada api neraka dan masukkanlah aku ke dalam syurga Firdaus-Mu.


2- Ya Allah, masukkanlah aku dan keluargaku dalam golongan yang beriman. Jadikanlah tangan kanan kami, tangan yang menerima kitab amal kami di hari pembalasan nanti.


3- Ya Allah, kurniakanlah padaku kematian yang diberkati. Izinkan aku mengucap syahadah sebelum aku menghembuskan nafas terakhirku. Kurniakanlah kepadaku syafaat Rasulullah s.a.w.


4- Ya Allah, Kau masukkanlah aku di dalam kalangan Rasulullah s.a.w, keluarganya dan para sahabat di Syurga Firdausi.


5- Ya Allah, selamatkanlah sahabat-sahabatku yang bukan Islam dan kurniakanlah mereka hidayah Islam.


6- Ya Allah, satukanlah aku di dalam syurga dengan orang-orang yang aku sayangi semata-mata kerana-Mu.


7- Ya Rabb, sempurnakanlah agama-ku dan ibadah-ku. Selamatkan aku daripada kejahatan dan izinkan aku menyempurnakan sebahagian daripada agamaku.


8- Ya Allah terimalah amalan baikku dan tingkatkan pahala dan rahmat untukku. Padamkan dosa-dosaku dan ampunkan aku sepenuhnya. Limpahi rahmatMu untukku dan selamatkanlah aku dari kehinaan pada hari hitungan amal.


9- Ya Allah, apabila aku telah meninggal, biarlah jiwaku dan rekod amalanku menjadi amalan tertinggi


10- Ya Allah kurniakan aku, ibu bapaku, keluarga dan anak-anakku bimbingan, ketabahan dan peningkatan Iman.


11- Ya Allah, masukkan aku dalam golongan yang Engkau lindungi, mendapat pengampunan Mu dan mendapat naungan pada hari ketika tidak ada naungan selain dari Arash Mu.


12- Ya Tuhanku, tingkatkan keyakinan dan tawakkalku pada-Mu. Janganlah ada keraguan dalam hatiku.


13- Ya Allah tingkatkanlah kecintaanku untuk Mu dan Nabi Mu (saw).


14- Ya Allah ampunilah aku dan tingkatkanlah kurnian Rahmat dan Rezeki Mu


15- Ya Allah berilah aku lebih banyak peluang untuk berbuat baik dan mendapat keredhaanmu.


16- Ya Allah Ya Rabb, sucikan niatku hanya untuk-Mu semata-mata dan lindungi aku dari sifat menunjuk-nunjuk atau kebanggaan yang palsu. Selamatkanlah aku dari sifat angkuh, sombong, menunjuk-nunjuk dan mengungkit-ungkit nikmat.


17- Ya Allah Tuhan Penciptaku, janganlah Kau biarkan aku sendirian. Berkati aku dengan pasangan yang bertanggungjawab pada agama-Mu dan kurniakanlah kepadaku anak-anak soleh-solehah yang akan menjadi penyejuk hatiku.


18- Ya Tuhanku, jadikanlah aku dari orang-orang yang sabar dan patuh kepada perintah-Mu dan patuh kepada ibu bapaku.


19- Ya Allah, Kau selamatkanlah aku dari fitnah Dajjal.


20- Ya Allah, Tuhan Yang Maha Penyayang, Kau selamatkanlah aku daripada siksaan azab kubur yang menyakitkan dan juga azab api neraka yang menakutkan itu.


21. Ya Allah, tingkatkanlah usahaku dalam kerja-kerja Sadakatul Jariah.


22. Ya Allah, berkati hidupku dengan kesihatan yang baik, agar aku dapat bersujud kepada-Mu dengan mudah sehingga akhir hayatku.


23. Ya Allah, lindungilah aku dan seluruh umat Islam dalam menentang penindas-penindas yang zalim. Selamatkan kami dari fitnah dan permudahkanlah urusan bagi kami mengharungi zaman yang sukar ini.


24- Ya Tuhanku, berkati hidupku dengan yang terbaik di dunia ini, yang terbaik di akhirat nanti dan selamatkanlah aku dari api neraka. Sesungguhnya aku memang memerlukan kurniaan dari-Mu, Ya Allah.


25- Ya Allah Tuhan Yang Maha Mendengar, tingkatkanlah kesyukuranku semata-mata kepada-Mu.


26- Ya Rabb, selamatkan aku dari kemunafikan.


27- Ya Allah, izinkan aku dan pasangku menjadi antara jemaah menunaikan Haji sebelum kami menutup mata. Jemputanlah kami untuk mengerjakan Haji ketika sihat tubuh badan dan ketika usia masih muda.


28- Ya Allah, lindungi kami dari syaitan, jin dan arak. Lindungi kami dari perbuatan jahat dan niat mereka.


29- Ya Allah, ampuni dosa-dosa dan berilah rahmat kepada ibu bapa kami, kerana mereka menjaga kami ketika kami masih kecil.


30- Ya Allah, aku berdoa dan memohon daripada-Mu untuk mengurniakan bimbingan kepada pemuda dan umat Islam. Selamatkan kami semua dari sifat  kufur, berputus-asa, salah laku dan syirik.


31- Ya Allah berikan aku kekuatan untuk melawan kemalasan dan tidur, semoga aku dapat bangun untuk tahajjud dan solat subuh setiap hari.


Akhir sekali, jangan lupa untuk perbanyakkan selawat ke atas junjungan kesayangan kita semua, Nabi Muhammad s.a.w.

Semoga Allah s.w.t. memberi keampunan kepada kita. Semoga kita semua dapat menjadi penghuni syurga tertinggi, Syurga Firdaus.



Ad Code

Responsive Advertisement