AIR FORCE THE MOVIE - Selagi Bernyawa memberi satu kepuasan 100% selepas menontonnya. Ini bukan propa tau. Dari segi jalan ceritanya, ianya seperti satu anjakan paradigma dalam seni perfileman Malaysia. Rasa-rasanya mampukah filem tentang Paskau ini menandingi Paskal?
Sinopsis
Filem ini mengisahkan hubungan sahabat baik antara Kapten Adib dan Zafran yang telah berjanji untuk sama-sama mencapai cita-cita sebagai juruterbang. Sayangnya, Kapten Adib telah memilih untuk mengubah haluan dan menyertai PASKAU. Ini menyebabkan hubungan kedua sahabat baik ini menjadi renggang.
Kapten Adib telah menyertai misi bantuan kemanusiaan di negara Namburi yang diketuai oleh Mejar Adnan. Pergolakan perang saudara di Namburi menemui jalan buntu dan genjatan senjata telah dibubarkan. Ini menyebabkan kedua pihak terus berperang. Keadaan ini memaksa kesemua anggota misi kemanusiaan perlu meninggalkan negara tersebut dalam keadaan segera.
Di dalam penerbangan pulang ke Malaysia, pesawat pengangkutan yang dikendalikan oleh Kapten Nur Liyana telah ditembak jatuh oleh pengganas.
Misi menyelamat dan membawa pulang telah dilancarkan oleh TUDM. Kapten Zafran, call sign Mantis merupakan "fighter pilot" Sukhoi yang kontroversi. Kapten Zafran yang juga merupakan abang ipar kepada Kapten Adib telah diberi amanah untuk mengetuai misi untuk menyelamatkan.
Pelakon dan peranan
Barisan pelakon hebat yang terlibat di dalam filem Air-Force The Movie - Selagi bernyawa adalah Nas-T, Dato' Adi Putra, Aiman Shah Rezza, Scha al-Yahya, Sara Ali, Johan Shaari, Pablo Amirul dan lain-lain.
Kapten Adib, yang digelar sebagai Rock dilakonkan oleh Nas-T sangat menjadi dan menyerlah sebagai seorang anggota PASKAU. Cik Suri suka akan watak Kapten Adib yang bijak dan dalam masa yang sama sangat taat pada arahan ketuanya iaitu Mejar Adnan.
Kapten Zafran lakonan Aiman Shah Reza, sahabat baik kepada Kapten Adib dan juga abang iparnya. Hubungan mereka menjadi renggang disebabkan oleh Kapten Adib yang memungkiri janji dengan menyertai PASKAU. Tetapi, demi kasih dan sayang kepada seorang sahabat dan juga adik, Zafran berikrar untuk menyelamatkan dan membawa pulang sahabatnya itu.
Mejar Adnan, lakonan Dato' Adi Putra adalah antara watak yang membuat Cik Suri rasa sangat tidak berkenan. Watak yang menggambarkan seorang leader yang seperti hilang arah dan lemah. Naik sakit hati pula melihatnya. Rasa macam terbawa-bawa watak Mat Kilau pula.
Scha Al-Yahya adalah penyebab Cik Suri sanggup ke pawagam seorang diri semata-mata untuk melihat lakonannya. Namun, hanya sebentar sahaja kerana watak Kapten Nor Liyana mati selepas Hercules yang dikendali olehnya terhempas selepas terkena sasaran pengganas.
Gaban, watak yang "cool" seperti Kapten Adib. Pantas dan tangkas bila bertindak sesuai sebagai penembak tepat dan aksinya memberi impak kepada keseronokan menonton filem ini.
Babak yang best
Pasti ramai yang akan teruja apabila melihat kemunculan Sukhoi Su-30MKM. Maklumlah baru lepas melihat kehebatan aset negara ini semasa Lintas langsung Hari Kemerdekaan Ke-65.
Antara Aset milik TUDM yang terlibat di dalam pembikinan filem Air-Force The Movie : Selagi Bernyawa |
Selain dengan hadirnya beberapa aset ketenteraan milik TUDM, filem ini juga turut menghidangkan aksi-aksi thriller yang mendebarkan. Antaranya, aksi tempur Mejar Adnan di dalam terowong dalam keadaan gelap amat mecemaskan. Anda kena tonton dulu movie ini, baru best.
Kesimpulan dari Saya
Berkesempatan menonton filem "Air-force the movie : Selagi Bernyawa" bukanlah sesuatu yang merugikan. Pengalaman menonton filem aksi yang melibatkan ketenteraan dan menggunakan kapal tempur bukanlah sesuatu yang mudah untuk direalisasikan. Lagi-lagi di dalam industri perfileman negara kita yang masih kecil ini.
Ia adalah sesuatu yang perlu kita banggakan sebagai rakyat Malaysia, sekurang-kurangnya masih ada produksi tempatan yang mengambil risiko dalam pembikinan filem bergenre sebegini. Tidak adil untuk kita membanding filem ini dengan filem luar negara "Top Gun: Maverick", kerana dari segi kos pembikinan pun sudah jauh berbeza.
Dari segi kualiti gambar dan bunyi, ianya sudah cukup memuaskan. Bunyi tembakan dan letupan mantap dan tidak melebih-lebih. Tetapi sekiranya diberi peluang, buatlah sedikit kajian dan eksperimen untuk mencipta satu scene yang "boom" dari segi gambar dan bunyi.
Keseluruhannya, 9/10 bagi Cik Suri sudah memuaskan hati. Bagaimana pula pendapat anda yang telah menontonnya?
Bagi yang belum lagi menonton filem ini, jom sama-sama beri sokongan. Tidak rugi.