UMRAH PERTAMA - Persiapan Sebelum Menunaikan Umrah
"Bestnya Siti Nurhaliza, dapat pergi umrah dalam bulan puasa. Dia pergi seorang diri, tak bawa Dato' K pun." kataku pada emak yang sedang sibuk sediakan juadah untuk berbuka puasa nanti.
"Pergilah. Ajak Hidayah sekali".
Itulah kalimah keramah yang memberi semangat kepadaku untuk nekad meneruskan impian kembara ini. Terima kasih, mak.
Assalamualaikum
Alhamdulillah, diberi kelapangan masa dan ilham untuk terus menulis perkongsian peribadi Cik Suri. Hampir sebulan lebih Cik Suri kembali ke tanah Malaysia, setelah empat belas hari berkelana di Tanah Haram.
Bersyukur sangat kepada Allah, di atas nikmat masa, kesihatan, kewangan dan paling penting jemputan dari-Nya yang membawa Cik Suri ke Tanah Suci Madinah dan Makkah. Tidak dapat digambarkan perasaan itu.
Bagaimana Ianya Bermula
Semuanya bermula selepas membaca tentang umrah Siti Nurhaliza, penghujung Ramadhan 1443H, iaitu tahun 2022. Cik Suri terbaca posting FB yang bertajuk, "Siti Nurhaliza menunaikan umrah seorang diri".
Terdetik di dalam hati, "Bestnya, Siti". Walhal saya hanya membaca headline sahaja tanpa membaca konten penuh posting tersebut.
Setiap orang ada impian tersendiri. Begitu juga dengan saya, mengimpikan untuk menunaikan Haji pada Hari Kelahiran. Dari perkiraan saya, ianya mungkin pada musim haji tahun 2026.
Doakan agar saya diberi peluang untuk menunaikan haji, tidak kiralah pada musim ke berapa. Yang penting dapat tunaikan rukun islam kelima ini.
Berbalik kepada cerita asal, bagaimana umrah ini terjadi.
"Unplanned"
Itu yang mampu saya katakan. Hanya daripada ucapan saya dan keizinan daripada ibu. Perancangan itu berlaku begitu sahaja sehinggalah hari saya berada di dalam kapal terbang. Macam sekelip mata sahaja.
Perasaannya seperti tidak percaya, gementar dan bingung. Itulah perasaan saya pada di hari perjalanan. Umrah pertama seorang diri tanpa keluarga, tanpa sahabat, tanpa kenalan. Lone Ranger!!!
Persiapan Saya
Jujur saya katakan, sebelum datangnya corona virus, menunaikan umrah bukanlah satu priority kepada saya. Tidak terlintas langsung di hati untuk pergi umrah dalam masa terdekat begini. Rasanya sebab masih seronok untuk travel ke tempat pelancongan.
Selain itu saya lebih terfokus kepada niat untuk menunaikan Haji. Tetapi, semenjak diistiharkan lock down, terkurung di dalam rumah, saya secara tidak sengaja melihat Kaabah yang tiada pengunjung di televisyen. Dari situ saya mula sedar dan terdetik di dalam hati mesti pergi ke sana. Aku mesti pergi juga selepas border di buka. Tak sangka ia menjadi kenyataan secepat ini.
Kalau hendak ditunggukan giliran haji, entah bila dapat pergi atau meninggal dunia dahulu. Perkara yang tidak dapat jangkakan. Sedangkan giliran haji Cik Suri pula pada tahun 2077, masa itu umur sudah mencapai 100 tahun. Masih hidupkah?
Saya mula membuat persiapan selepas Aidilfitri secara sedikit demi sedikit. Banyak perkara yang perlu dititik beratkan untuk kerja umrah ini. Di sini saya kongsikan persediaan yang saya lakukan. Semoga ia memberi manfaat juga kepada anda yang sudi membaca sehingga noktah terakhir posting ini.
Kewangan
Perkara pertama yang saya ambil kira adalah kemampuan saya dari segi kewangan. Realistiknya, adalah kemampuan kita untuk membiayai segala perbelanjaan sebelum, semasa dan selepas perjalanan musafir ini. Penting supaya kita tidak terciduk di belakang hari.
Dari segi kewangan, saya menggunakan sejumlah simpanan saya di Tabung Haji. Saya gunakan ia sebagai biaya untuk membayar pakej umrah. Sebenarnya, itu adalah simpanan yang saya rancang untuk saya kerjakan ibadah Haji.
Tapi, saya fikir, it's okay kalau gunakan dulu untuk umrah. Inshaa Allah, jika diizin Allah, diberi rezeki, kita tambah balik simpanan Haji tersebut. Keep on berdoa agar sentiasa dimudahkan dan dimurahkan rezeki. Takut sebenarnya, takut tak sempat pergi haji.
Untuk perbelanjaan lain-lain dan belanja ketika di Makkah dan Madinah, saya hanya menggunakan simpanan biasa sahaja. Cuma perlu aktifkan kad bank untuk pengeluaran antarabangsa.
Memilih Agensi
Saya mula operasi mencari dan memilih agensi umrah selepas Aidiladha. Tetapi pada ketika itu, pakej untuk menunaikan umrah di bulan puasa masih belum ditawarkan oleh mana-mana agensi yang saya rujuk. Ada satu agensi yang saya hubungi memberitahu yang biasanya jadual pakej ramadhan hanya akan dibuka antara tiga atau empat bulan sebelum tibanya bulan ramadhan. Cik Suri terawal sangat rupanya. Nampak tak macam excited di situ.
Jadinya, saya masih ada masa untuk membaca dan menilai dahulu agensi-agensi yang menjadi pilihan sama ada dari segi kos dan perkhidmatannya. Saya juga telah menetapkan berapa bajet yang saya mampu untuk pakej umrah dan perbelanjaan.
Jadi, pemilihan agensi akan dinilai berdasarkan bajet yang telah saya tentukan. Hati ini yang sebenarnya teringin sangat untuk mengikuti Pakej Umrah bersama Ustaz Don Daniyal. Tetapi, harga pakej tidak sesuai dengan bajet saya mampu.
Saya mula booking pakej umrah pada akhir bulan Oktober iaitu melalui agensi Tiram Travel. Tiram Travel memenuhi kemampuan bajet saya dan setelah saya membuat rujukan daripada sahabat-sahabat yang pernah menggunakan perkhidmatan mereka. Rahsianya: Saya booking melalui Tik Tok.
Kursus Umrah
Hendak pergi umrah, kenalah ada ilmu. Kalau tidak dipersiapkan diri dengan ilmu, boleh terkontang kanting juga nanti. Betul, saya tidak menipu. Walaupun sudah pergi kursus umrah, masih lagi terpinga-pinga juga.
Alhamdulillah, Allah kurniakan kepada saya dengan nikmat masa lapang. Pada Januari 2022, saya telah resign daripada syarikat saya bekerja. Bermaksud, saya mempunyai banyak masa yang terluang. Saya mula berjinak-jinak mengikuti kursus umrah secara online.
Ia adalah melalui TikTok Live dan FB Live sejak musim PKP lagi. Masa-masa terluang itulah saya belajar banyak perkara termasuklah hal-hal berkaitan Umrah dan Haji secara tidak formal. Boleh dikatakan tanpa sedar? Tak sangka rupanya, saya betul-betul pergi umrah dalam masa secepat ini. Tidak merancang, rupanya telah dirancang. Allah Maha Mengetahui dan Perancangan-Nya adalah Perfect.
Ilmu dan Amalan
Selain mengikuti kursus umrah, perkara yang sangat penting adalah persediaan rohani. Mempersiapkan diri dengan ilmu agama sebanyak mungkin. Buangkan segala tabiat buruk dan perbanyakkan taubat nasuha. Tidak mudah untuk membersihkan jiwa, tetapi boleh dilakukan dengan kekuatan dari dalam diri. Banyakkan menginsafi diri dan memohon keampunan daripada Sang Pencipta. Semoga Allah permudahkan segala urusan.
Sempurnakan solat fardhu dan perbanyakan solat sunat sebelum pergi umrah. Ini antara yang saya lakukan:
- Solat Sunat Tahajud
- Solat Sunat Taubat
- Solat Sunat Hajat
- Solat Sunat Safar / Musafir
- Solat Sunat Isyrak
- Solat Sunat Dhuha
- Solat Sunat Ihram
- Solat Sunat Tawaf
- Solat Sunat Rawatib
- Solat Witri
Dokumen Perjalanan (Passport dan Visa)
Passport adalah perkara yang paling penting bila kita ingin travel ke luar negara. Kita kena pastikan passport masih valid tarikh, sekurang-kurangnya enam bulan sebelum perjalanan. Jika sudah hampir tarikh luput, cepat-cepatlah renew. Saya renew passport dua bulan sebelum tarikh berlepas ke Jeddah.
Bagi jemaah yang menggunakan khidmat agensi, segala urusan berkaitan dengan visa memasuki negara Arab Saudi akan diuruskan oleh pihak agensi. Kita hanya perlu sediakan kepada mereka salinan passport dan gambar untuk permohonan visa. Takaful dan insurans juga akan diuruskan oleh pihak agensi kerana ianya sudah termasuk di dalam harga pakej yang kita bayar.
Cucuk Vaksin dan Pemeriksaan Kesihatan
Penting untuk kita dapatkan suntikan imunisasi/vaksin sebelum berangkat ke Tanah Suci. Ia dapat menghalang tubuh badan kita daripada dijangkiti wabak yang tidak kita ketahui di sepanjang perjalanan umrah.
Bagi anda yang risau tentang kesihatan atau kemampuan diri sebelum tiba di Tanah Haram, boleh juga lakukan pemeriksaan kesihatan sebelum berangkat. Pemeriksaan tahap kesihatan penting supaya kita kenalpasti penyakit yang kita tidak sedari. Sekurang-kurangnya dapat buat persediaan awal dari segi nasihat doktor dan rawatan sewajarnya.
Bekalan ubat-ubatan juga perlu dibawa. Saya hanya membawa beberapa jenis ubatan yang basic sahaja seperti ubat demam, panadol, ubat batuk, selesema, ubat gastrik, eye moist dan juga minyak angin/urut.
Bagi jemaah wanita, mesti akan ada rasa risau tentang masalah haid. Seriously, saya juga begitu. Apa yang saya lakukan adalah dengan download aplikasi My Calendar supaya saya dapat membuat anggaran tarikh period.
Aplikasi My Calendar sangat membantu saya untuk memilih tarikh pakej. Saya juga dapat menganggar tarikh yang selamat untuk saya kerjakan umrah tanpa ada kerisauan. Alhamdulillah. Allah permudahkan urusan saya.
Apa yang penting sebenarnya adalah kena banyakkan memohon doa agar Allah memudahkan urusan umrah kita tanpa halangan.
Barangan dan Kelengkapan Diri
Selain itu, kelengkapan diri perlu juga disediakan. Saya mula membuat persediaan dari segi pakaian untuk umrah secara berperingkat. Ada beberapa barangan yang tidak perlu digunakan tidaklah saya bawa.
Saya membawa seminimum yang mungkin kerana saya yakin kita akan berbelanja di Tanah Suci nanti. Segala senarai barangan yang perlu dibawa akan dimaklumkan oleh agensi. Seperti saya, agensi telah senaraikan barangan dan jumlah yang perlu dibawa. Tetapi, saya tidaklah mengikut seratus peratus daripada senarai yang dicadangkan.
Kesimpulan Dari Cik Suri
Mendapat jemputan menjadi tetamu Allah adalah satu nikmat yang terbesar dalam hidup setiap orang. Begitu juga dengan Cik Suri.
Sudah pastinya apabila menjadi tetamu Allah, kita perlulah bersihkan hati dan jiwa daripada dosa besar dan dosa kecil. Saya masih ingat, dalam tempoh persediaan jiwa, saya selalu berdoa kepada Allah agar diberi kesabaran. Kesabaran untuk menghadapi orang-orang di sekeliling saya. Tidak mudah untuk menjadi sabar kerana saya seorang yang cepat hilang sabar.
Saya banyak menggunakan masa menyendiri dan mengingati Allah. Perasaan gementar itu ada. Bermacam perkara berlengar-lengar di dalam fikiran. Takut Allah tidak mengizinkan saya menjadi tetamu-Nya. Takut tidak dapat naik kapal terbang. Maklumlah, sebelum ini banyak dengar cerita-cerita orang. Begitu dan begini. Nanti saya ceritakan pengalaman pahit manis di tanah suci.
Mana Hidayah
Oh...mesti kamu semua tertanya-tanya di mana Hidayah. Kan ibu Cik Suri suruh pergi sekali dengan Hidayah.
Hidayah dan Kak Yatie datang menemani Cik Suri di KLIA. Cuba teka mana satu Hidayah? |
Sebenarnya, Hidayah telah pergi umrah lebih dahulu daripada Cik Suri. Dia berangkat pada bulan September bersama dengan ibu saudaranya dan sepupunya.
Cik Suri tidak sangka yang dia juga telah ada perancangan awal. Masih ingat lagi ketika dia memberitahu saya yang dia kan pergi umrah. Ketika itu kami di dalam kereta untuk pergi beraya ke rumah kawan baik kami juga. Saya diamkan sahaja. Tak jadi untuk merancang umrah bersama. Rezeki setiap orang adalah berbeza.
3 comments:
Sekurangnya adanya kursus Umarah begini dapat memberikan lebih banyak info persediaan bakal² tetamu Allah nanti. Thanks share ;)
Ya betu. Penting untuk ada kursus dan pengetahuan. Sekarang dah banyak kursus online, Tak perlu risau dan boleh repeat study jika perlu.
Alhamdulillah... Perkongsian yang sangat menarik.. Doakan saya dapat tunaikan umrah bersama keluarga. InshaAllah. Saya baru nak bercadang untuk pergi umrah bulan januari tahun depan.. Cuma nak bertanya, untuk umrah kali pertama, lebih baik pergi bersama travel agensi atau DIY ya? sebab ada terbaca tentang umrah DIY di (https://mustaqimtravel.com/umrah-diy-atau-agensi-mana-lebih-berbaloi/) menarik jugak... Mohon pencerahan bagi sesiapa yang dah mahir tentang umrah
Post a Comment