PERSEDIAAN SEBELUM MELABUR KE DALAM UNIT AMANAH SAHAM
PASTI ramai yang biasa mendengar mengenai unit amanah yang juga dikenali sebagai unit trust.
Unit Amanah ialah salah satu instrumen pelaburan yang sangat popular di
Malaysia selain pelaburan saham, hartanah, emas dan macam-macam lagi.
Tetapi sebelum membuat persiapan untuk melabur ke dalam unit amanah, kita perlulah benar-benar mengetahui dan memahami apakah yang dimaksudkan dengan unit amanah.
Jom kenali dahulu tentang unit amanah.
Unit amanah ialah wang daripada ramai pelabur individu yang dikumpulkan untuk
membeli beberapa kelas aset berlainan dalam kuantiti besar.
Seterusnya pengurus dana yang profesional akan menentukan peratusan daripada dana
yang akan dilaburkan ke dalam setiap jenis kelas aset, mengenalpasti negara, industri
dan syarikat yang mempunyai prospek serta potensi pulangan terbaik.
Setiap pelabur akan menerima unit di dalam dana yang mana setiap unit
mewakili campuran pelbagai jenis kelas aset seperti saham, bon dan simpanan tetap.
Persediaan yang perlu dititik beratkan
Setelah mengetahui dan faham tentang apa yang dimaksudkan dengan unit amanah, pastikan anda membuat persiapan terlebih dahulu sebelum memulakan pelaburan.
Terdapat lima persediaan yang perlu diberikan perhatian iaitu kenal pasti
toleransi terhadap risiko; kenal pasti modal pelaburan; bandingkan prestasi
dana; kenal pasti adakah pelaburan itu berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti;
dan kenal pasti sama ada dana pelaburan unit amanah tersebut patuh syariah.
1. Kenal pasti toleransi terhadap risiko
Secara umum risiko boleh dikelaskan kepada
rendah, sederhana dan tinggi. Lagi tinggi risiko, lagi tinggi potensi pulangan
pelaburan atau kerugian.
Bagi mereka yang tidak sanggup untuk berdepan
dengan risiko kehilangan modal, bermakna toleransi anda terhadap risiko adalah
rendah. Maka, potensi pulangan juga adalah rendah.
Pelaburan saham pula dikategorikan sebagai berisiko tinggi. Menerusi pelaburan saham, pelabur berpotensi untuk mendapatkan
pulangan setinggi 30 peratus sehari tetapi perlu juga bersedia untuk berdepan
dengan risiko kerugian 30 peratus dalam masa sehari!
Untuk pengetahuan umum, unit amanah sememangnya
tergolong dalam kategori pelaburan berisiko sederhana. Namun dalam pelaburan
unit amanah itu sendiri ada yang berisiko rendah, sederhana dan tinggi. Ia
bergantung kepada objektif dana itu berkenaan.
Oleh itu, pastikan memilih dana yang sesuai
dengan tahap toleransi terhadap risiko. Pelaburan dalam unit amanah merupakan
pelaburan dengan tempoh masa yang panjang.
Tempoh yang disarankan untuk pelaburan unit
amanah adalah di antara lima hingga 10 tahun. Membuat pelaburan dalam jangka masa yang panjang sangat digalakan untuk mendapatkan manfaat keuntungan kumulatif.
Jika mampu untuk bersabar dan mahu lihat
pelaburan dibuat terus berkembang tidak kira keadaan ekonomi bagus atau
merudum, maka melabur dengan unit amanah adalah pilihan terbaik.
2. Modal pelaburan
Setelah kenal pasti kesesuaian pelaburan unit
amanah yang dipilih, seterusnya ambil tahu pula berapa modal minima yang
diperlukan untuk mula melabur. Ada dana yang memerlukan modal serendah RM100
ada yang memerlukan modal RM1,000.
Sesetengah syarikat unit amanah seperti Public Mutual yang membenarkan pelabur
menambah pegangan unit dengan modal tambah minima
RM100.
Pelabur tentukan pilihan kerana ia perlu sesuai
untuk pelabur yang ingin melabur secara konsisten pada setiap bulan untuk
jangka masa panjang.
3. Bandingkan prestasi dana
Perlu tahu bahawa tujuan melabur ialah untuk
mengembangkan duit pelaburan. Jadi sebelum melabur bandingkan juga prestasi
dana di antara dana-dana yang berada di dalam kategori sama.
Sebagai contoh, jika mahu melabur di dalam dana
ekuiti bandingkan dulu prestasi dana daripada beberapa syarikat yang menawarkan
dana ekuiti bagi memastikan kualiti dana dan pengurus dana adalah baik.
Tetapi harus ingat, bahawa prestasi terdahulu
tidak menjamin prestasi akan datang. Jika pelabur perlu tukar ke dana yang lain
untuk meraih pulangan yang lebih tinggi, maka bertukarlah.
4. Berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti
Dalam dunia serba moden kini, terlalu banyak
pilihan pelaburan yang ada di depan mata. Untuk itu, pelabur harus mengambil
langkah berjaga-jaga dan memastikan unit amanah yang hendak dilaburkan itu
telah berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Ini kerana semua produk unit amanah mesti
didaftarkan dengan SC, iaitu sebuah badan berautoriti yang mengawal selia semua
jenis pelaburan di Malaysia.
Semakan ini perlu kerana mengikut data yang
dikeluarkan oleh Bank Negara, seramai 974,301 individu telah kerugian RM3.8
bilion oleh skim-skim penipuan yang banyak terdapat di Malaysia.
5. Dana pelaburan unit amanah patuh syariah
Sebagai pelabur yang beragama Islam perlu
memastikan dana yang mahu dilaburkan itu patuh syariah. Ini bagi memastikan
pulangan daripada pelaburan tersebut adalah halal.
Tips: Elak daripada melabur ke dalam pelaburan dana konvensional yang mempunyai unsur-unsur riba, judi atau ketidakpastian. Biar pulangan diterima sedikit asalkan berkat, itu adalah lebih utama daripada mencari keuntungan yang tinggi tetapi melalui jalan yang tidak halal.
No comments:
Post a Comment