Resepi Burn Cheesecake Guna Blender & Sukatan Cawan, Sangat Mudah dan Cepat!

Assalamualaikum.

Rasanya macam lama sangat Cik Suri tidak berkongsi resepi baru di blog, kan? Bersempena dengan hari lahir ibu Cik Suri semalam, hari ini saya akan kongsikan pencuci mulut (dessert) kegemaran beliau iaitu Burnt Cheesecake. Saya pilih resepi kek keju ini sebab ianya sangat mudah dan tidak memerlukan bahan yang banyak untuk membuatnya.


Sebenarnya, tahun ini kami tidak dapat membuat sebarang sambutan harijadi. Sedih juga rasanya, maklumlah hanya Cik Suri dan kakak kedua sahaja yang berada di rumah ketika ini. Adik-beradik yang lain tidak sempat pulang ke kampung kerana faktor musim hujan dan banjir yang tidak mengizinkan. Jadi, kalau hendak disambut berdua sahaja, terasa agak sunyi macam krik...krik...!!


Seperti tahun-tahun lepas, adik Cik Suri yang menetap di Kuala Lumpur akan balik bersama anak-anaknya untuk menyambut hari lahir maktok mereka. Kali ini mereka balik awal dan belum pun sempat tarikh 25hb mereka telah bergerak ke rumah emak mertua adik pula.

Cara Buat Burnt Cheesecake Paling Mudah 

Untuk membuat burnt cheesecake ini sebenarnya sangat mudah dan cara-caranya langsung tidak rumit. Bagi anda yang tiada mixer, anda boleh menggunakan blender (mesin pengisar) sahaja untuk membuat kek ini. 


Caranya mudah: Masukkan kesemua bahan-bahan ke dalam blender, kemudian cuma tekan butang on dan kisar seketika, sehingga adunan menjadi halus (smooth). Selepas itu, alihkan adunan ke dalam loyang pembakar dan sedia untuk dibakar. Ini memang cara buat kek keju paling mudah dan cepat!


Beberapa orang sahabat saya pernah mencuba burnt cheesecake yang saya masak ini. Alhamdulillah, feedback daripada mereka sangat menyenangkan hati. Sekurang-kurangnya dapat juga maklum balas positif daripada kawan-kawan terdekat.

Cara buat burnt cheesecake versi Cik Suri ini direka khas untuk memudahkan kerja kita di dapur. Dalam memasak, kita perlulah menjadi kreatif dan selalu lakukan eksperimen dengan bahan-bahan yang ada!  


Nota: Cik Suri juga pernah kongsikan video penuh resepi ini di saluran Youtube Cik Suri. Jika anda ada kelapangan masa, jemputlah menontonnya untuk pamduan visual yang jelas!

Burn Cheese Cake Kembara Suri

Bahan-Bahan Burnt Cheesecake (Sukatan Cawan & Gram)

Berikut adalah bahan-bahan asa yang anda perlukan:

  • 250 gram krim keju (cream cheese) - pastikan pada suhu bilik
  • 2 sudu besar tepung gandum
  • 1 cawan gula
  • 2 biji telur
  • 150 gram krim putar (whipping cream)
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil jus limau nipis (atau jus lemon)

Tips Tambahan untuk Bahan:

Bahan-bahan ini kamu boleh diubah mengikut selera dan kretiviti masing-masing. Sebagai contoh, saya menggunakan jus limau nipis kerana pada masa itu tiada jus lemon di rumah. Hendak ke kedai agak malas, jadi gunakan sahaja apa yang ada. Hasilnya tetap menjadi dan kek tetap sedap!

Selain itu, anda boleh juga kurangkan penggunaan gula. Daripada 1 cawan, boleh dikurangkan kepada 3/4 cawan atau 1/2 cawan sahaja jika anda kurang gemar makan makanan yang terlalu manis.

Langkah Demi Langkah Cara Memasak

Jika anda menggunakan mixer atau whisk, boleh ikut langkah mudah Cik Suri ini:

1- Putar Krim Keju & Gula: Putarkan krim keju bersama-sama gula sehingga sebati selama lebih kurang 1 sehingga 2 minit. Pastikan krim keju berada dalam keadaan suhu bilik (bukan beku) supaya proses memutar menjadi lebih cepat dan tidak berketul. 

2- Masukkan Telur: Kemudian, masukkan dua biji telur (sebiji demi sebiji) dan sambung putar seketika.

3- Masukkan Whipping Cream: Masukkan whipping cream dan sambung mengadun adunan sehingga rata.

4- Masukkan Bahan Kering & Jus: Akhir sekali, masukkan jus limau, garam dan tepung gandum. Teruskan mengadun seketika (lebih kurang 2 hingga 3 minit) sehingga adunan benar-benar sebati dan licin.

5- Proses Membakar: Masukkan adunan ke dalam loyang pembakar yang telah di alas atau acuan kertas. Bakar di dalam oven selama 30 minit pada suhu 180°C. Kemudian, tambah masa lagi 5 minit menggunakan api atas untuk dapatkan kesan permukaan kek yang sedikit hangus atau burnt yang cantik.

6- Sejukkan & Hidang: Sejukkan kek anda seketika pada suhu bilik sebelum dipotong. Kini, burnt cheesecake anda siap untuk dihidangkan! 

Mudah sangat!

Burn Cheese Cake Cik Suri

Tips Bonus: Versi Burnt Cheesecake Guna Blender

Seperti yang Cik Suri katakan pada awal tadi, kek ini memang magis kerana guna kaedah apa pun ia tetap akan menjadi.

Jika anda mahu versi blender, masukkan sahaja kesemua 7 bahan-bahan di atas serentak ke dalam blender. Kisar selama dua hingga tiga minit sehingga tekstur adunan kelihatan smooth. Kemudian, terus tuang ke dalam loyang atau acuan kertas dan bakar menggunakan suhu serta masa yang sama seperti  dinyatakan di atas. Hasilnya tetap berkrim dan sangat sedap!

Apalagi, jangan lupa untuk mencuba resepi mudah ini di rumah. Anda pasti akan sukakannya. Selamat mencuba dan selamat meluangkan masa berkualiti bersama keluarga tercinta.

Tiada ulasan:

Popular Post