UMRAH PERTAMA - Pengalaman Mendaki Jabar Nur
Assalamualaikum.
Salam hari Jumaat. Lama betul masa yang diambil untuk perkongsian pengalaman Cik Suri mendaki Bukit Jabal Nur. Masih ingat umrah Cik Suri pada Ramadhan tahun lepas. Maaflah, terlalu lama sangat masa peram untuk menulis perkongsian ini. Maklumlah, kadang-kadang ada hari yang kita "stuck" cara untuk menulis.
Mohon untuk teruskan membaca.
Kumpulan kami berkesempatan mendaki Jabar Nur pada hari kedua ketika berada di tanah suci Mekah. Pengalaman mendaki pada waktu malam adalah satu pengalaman yang tidak akan dilupakan. Melihat keindahan bumi Mekah pada waktu malam dengan kerdipan cahaya lampu dari puncak bukit yang penuh sejarah ini.
"Jabal Nur" bererti bukit (jabal), nur (cahaya). Jabal Nur berjarak kira-kira 2 batu dari Kota Mekah. Di Jabal Nur inilah terdapatnya Gua Hira' yang mana gua yang menjadi tempat Rasulullah menerima wahyu pertama daripada Allah. Pertemuan pertama Rasulullah dengan Malaikat Jibril yang menjadi utusan dari Allah. Bukit inilah yang menjadi saksi pertemuan pertama kedua makhluk Allah yang mulia iaitu Nabi Muhammad s.a.w dan Malaikat Jibrail a.s.
Teringat akan kisah perit-gentir Nabi Muhammad ulang-alik mendaki bukit ini. Jabal Nur inilah tempat baginda menyendiri dari kelompok masyarakat Mekah.
Bergerak dari Hotel
Kami bertolak dengan menaiki bas dari Hotel Hilton. Kami bergerak menuju ke Jabar Nur selepas waktu Isyak. Sempat juga kami makan malam terlebih dahulu di Hotel Hilton. Perjalanan mengambil masa hampir satu sejam, ditambah pula dengan sedikit kesesakan di jalan raya. Sempat juga Cik Suri terlelap sekejap. Penat barangkali.
Kami tiba di kaki bukit hampir jam 10 malam. Pada asalnya, perancangan kami untuk membuat lawatan ke muzium dahulu. Tetapi disebabkan kami sudah kesuntukan masa, jadi terpaksa mengubah perancangan dengan terus mendaki Jabal Nur ini.
Kami diturunkan di satu kawasan deretan bangunan kedai yang masih belum ditutup. Kemudian, kami menaiki van yang sedia ada di sana. Van ini perlu dibayar dengan harga 5 riyal setiap seorang. Cik Suri agak terkejut apabila menaiki van ini kerana pemandunya memandu dengan sangat laju dan ekstrem. Ya, tidak hairan kalau kami menjerit.
Pemandu terpaksa menekan dan melepaskan brek ketika melalui lorong-lorong kecil sambil memandu mendaki bukit ini. Terkejut kami. Sampai sahaja di kaki bukit, apabila turun dari van barulah Cik Suri perasan yang bukit ini sangat curam. Teringat Cik Suri merangkak mencari tempat yang rata.
Pengalaman Mendaki Jabal Nur
Kami mula mendaki setelah semua jemaah sudah berkumpul. Sebenarnya kawasan Jabal Nur ini sangat gelap. Nasib ada cahaya lampu daripada telefon. Kalau tidak terpaksalah mendaki dalam gelap. Bukit ini pada awalnya mempunyai tangga yang landai. Tapi, penat juga hendak melangkah. Bagi mereka yang sudah biasa mendaki bukit atau gunung, tiada masalah untuk menghabiskan pendakian dalam masa sekejap sahaja.
Tidak untuk Cik Suri, terpaksa berjalan perlahan-lahan untuk mengelakkan daripada merasa penat. Mujur ada teman-teman yang melayan dan sama-sama berjalan. Kurang juga rasa penat dan lelah. Lama juga masa yang Cik Suri ambil untuk sampai ke puncak. Adalah dalam sejam lebih. Belum kira masa untuk turun lagi tu.
Banyak kali juga Cik Suri berhenti berehat. Sambil-sambil itu, sempatlah mengambil gambar permandangan dari atas Jabar Nur untuk dijadikan kenangan. Mendaki menaiki tangga tetapi Cik Suri terlupa untuk membilang berapa bilangan anak tangga di Jabal Nur ini.
Sampai sahaja separuh perjalanan, mutawiffah yang guide kami ini belanja minum air jus limau nipis. Uishh...segar betul. Lega tekak dapat minum air limau nipis sejuk. Terus bertenaga untuk sambung perjalan sampai ke puncak.
Peminta Sedekah di Jabal Nur
Jangan terkejut kalau kamu disapa oleh orang-orang Arab. Ya, di sepanjang pendakian akan ada peminta sedekah. Mereka adalah orang Arab-Badwi. Mereka akan menegur kita dan meminta sedekah. Cik Suri tidak sampai hati melihatnya tetapi telah dipesan oleh jemaah untuk tidak melayan. Ini kerana, kalau kita sedekah dekat satu orang akan ramai lagi akan datang dekat kita. Jadi, jangan cari penyakit. Takut nanti tidak sempat balik hotel kerana ditahan oleh peminta sedekah.
Bermacam ragam si peminta ini. Ada yang merayu, ada yang menyanyi. Siap ada yang tahu lagu viral tiktok Malaysia. Cik Suri lupa apa yang disebut, tetapi terhibur jugalah mendengarnya.
Puncak Jabal Nur
Kami berjaya sampai ke puncak Jabal Nur setelah beberapa kali berhenti. Berhenti rehat dan mengambil gambar pemandangan. Pendakian yang mengambil masa lebih kurang hampir sejam. Sebenarnya, Cik Suri lupa nak rekod masa. Kami berhenti di satu kawasan yang Cik Suri sendiri tidak pasti sama di puncak atau belum. Tetapi, apabila memandang ke bawah kita akan nampak Gua Hira'.
Di Gua Hira' terlalu ramai orang yang ingin mengambil peluang untuk menunaikan solat sunat di situ. Kebanyakan adalah daripada golongan lelaki. Cik Suri hanya memandang sahaja gua yang menjadi tempat persembunyian nabi s.a.w. ini.
Bergambar Kenangan di Jabal Nur
Di puncak Jabal Nur ini, sempatlah kami bergambar kenangan. Sambil minum air mineral yang boleh dibeli di gerai yang ada di puncak. Bila diingat-ingatkan balik, tidak terasa penat pun mendaki Jabal Nur ini. Lagi-lagi bila kita berjalan santai-santai. Cuma akan mengambil masa untuk sampai ke puncak.
Setelah puas bergambar kami meneruskan perjalanan turun. Masa ini laju sedikitlah berjalan. Kadang-kadang semput juga apabila sampai di kawasan yang sedikit curam. Hendak kena tahan kaki menurun, tidak sama macam kita mendaki.
Pengalaman Yang Seronok
Kami tiba di Masjidil Haram hampir tengah malam. Masa ini mata terasa sangat mengantuk. Bas menurunkan kami di Hotel Hilton, jadi terpaksalah Cik menapak balik ke Hotel Safwah yang terletak di Tower Clock. Perut lapar tapi mata mengantuk. Jadi, Cik Suri pilih mata untuk tidur di atas tilam empuk hotel. Esok kena bangun awal pagi untuk lakukan tawaf sebelum solat subuh.
No comments:
Post a Comment